SIRIM bantu tentukan prestasi usahawan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BUKIT KATIL 25 Oktober – Kerajaan Negeri bersetuju menjadikan SIRIM Berhad sebagai nadi bagi menentukan prestasi setiap usahawan di negeri ini.

Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi@Mohd Hasim berkata, dengan penglibatan bersama pihak SIRIM, ia memberi keyakinan kepada orang ramai untuk membeli produk dihasilkan usahawan.

“Sebelum ini saya bersama Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin mengadakan perbincangan bersama pihak SIRIM tentang perkara ini untuk membantu usahawan di Melaka.

“SIRIM boleh membantu menilai prestasi setiap usahawan untuk memperkembangkan pasaran mereka, ini kerana SIRIM sebuah syarikat yang mampu memberi keyakinan kepada orang ramai.

“Kita setuju SIRIM ini menjadi penentu kepada kriteria setiap usahawan yang ada, ini langkah pertama untuk menilai sesuatu produk itu sama ada sesuai untuk diketengahkan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat Bantuan Pinjaman Perniagaan Program Usahawan Bersama Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka di Dewan Terbuka Istana Melaka di sini, hari ini.

Program berkenaan disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman merangkap Pengerusi WI Negeri Melaka.

Hadir sama, Naib Pengerusi 2 WI Negeri Melaka, Datin Juliana Mohd Hassan dan ahli-ahli WI Negeri Melaka dan wakil-wakil Bank Simpanan Nasional (BSN) Melaka.

Katanya, menerusi kerjasama itu SIRIM boleh membantu untuk mendapatkan logo atau kod QR setiap usahawan.

“Selepas itu baharu kita ke peringkat seterusnya iaitu mendapatkan bantuan pinjaman seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau apa sahaja agensi bagi membuat pelabelan, kandungan dan lain-lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

750
Kongsi :
Previous post TMM2024: RM3 juta naik taraf jalan raya luar bandar
Next post Lapan ‘panic button’ dipasang sebelum TMM2024
Ubah saiz-+=