Sistem amaran banjir bakal diperluaskan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SUNGAI UDANG 17 Ogos – Sistem amaran banjir (flood warning system) akan diperluaskan ke seluruh Melaka khususnya di kawasan luar bandar dalam usaha mengekang masalah banjir daripada berlaku di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Seri Utama Idris Haron berkata, sistem tersebut merupakan satu inovasi yang dibangunkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) berupaya menghantar signal awal jika terdapat tanda-tanda bakal berlakunya banjir di sesebuah kawasan.

Jelasnya, ujikaji telah dijalankan di kawasan Melaka Tengah dan lembangan Sungai Melaka dengan menunjukkan keberhasilan positif dalam memberi amaran sebelum banjir dijangka berlaku.

“Mengikut apa yang diperjelaskan kepada saya, alat berkenaan yang berbentuk pengantara signal akan memberi amaran tentang situasi air dan tahap bahaya kenaikan air di sesebuah kawasan.

“Jadi, jika ia boleh mengenalpasti risiko banjir dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam, bagi saya ia sesuatu yang baik. Sekurang-kurangnya dalam tempoh itu kita dapat memaklumkan agensi-agensi yang berkaitan untuk melakukan sesuatu seperti contoh membuka pintu-pintu air lebih awal.

“Jadi, apabila melihat ujikaji yang dijalankan menunjukkan hasil positif, saya telah meminta UTEM untuk mengembangkan lagi usaha berkenaan di kawasan-kawasan luar bandar, terutama di kawasan hotspot banjir,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Merdeka @ Komuniti di Kompleks Japerun Sungai Udang.

Mengulas lanjut, Idris berkata, melalui sistem baharu itu juga diharap dapat mengurangkan kerugian membabitkan kerosakan harta benda kepada mereka yang terlibat dan yang paling penting dapat mengelakkan daripada berlakunya kehilangan nyawa.

“Kalau tak dapat mengelakkan banjir sekali pun, sekurang-kurangnya kita dapat memberitahu orang ramai supaya bersedia berdepan dengan banjir dan memindahkan barang-barang berharga ke tempat yang lebih selamat.

“Kita sedar, bila berlakunya banjir secara tiba-tiba, ia akan mengecewakan mereka yang terlibat. Terutama apabila berlakunya kerosakan harta benda dan lebih-lebih lagi kehilangan ngawa. Jadi, itulah sebab penting untuk kita adakan usaha ini bagi memastikan masalah rakyat dapat kita tangani sebaik mungkin,” katanya lagi.

Views:

291
Kongsi :
Previous post BERSATU tumpu tarik pengundi muda
Next post ADUN Sungai Rambai tawar diri pantau bendera terbalik
Ubah saiz-+=