Siti Sarah kerap tanya keadaan di Palestin – Nadir Al-Nuri

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 9 Ogos – Penyanyi Siti Sarah sempat menyertai program korban di Gaza beberapa hari sebelum sambutan Aidiladha lalu selain kerap bertanya khabar nasib umat Islam di Palestin.

Perkara itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan bukan kerajaan, Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman melalui saluran berita Telegramnya pagi ini.

Menurutnya yang lebih dikenali dengan panggilan Nadir Al-Nuri, hatinya tersentap apabila mendapat tahu kehilangan Siti Sarah Raisuddin, 36, jam 5.15 pagi tadi daripada suaminya yang juga pelawak, Shuib melalui Instagramnya.

GAMBAR dikongsikan Nadir bersama sumbangan korban Siti Sarah

“Saya baru dihubungi Siti Sarah sebelum raya haji lepas untuk beliau ikuti program korban di Gaza kami.

“Masa tu saya terkejut bila beliau maklumkan nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian saja, seolah beliau sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir.

“Selepas itu beliau kerap berhubung dan bertanya tentang keadaan saudara-saudara kita di Palestin,” katanya.

PERKONGSIAN perbualan antara Nadir dan Siti Sarah yang tular

Tambah Nadir Al-Nuri, tiada siapa menyangka, rupanya itu adalah petanda Siti Sarah sedang mengejar bekalannya di akhirat.

“Rupanya Allah takdirkan, nyawa beliau diambil dalam keadaan beliau memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah telah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada’ akhirat di bumi berkat. Semoga engkau tenang di sana, al-fatihah,” tulisnya lagi.

Siti Sarah Raissuddin, 36, menghembuskan nafas terakhirnya jam 5.13 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Berita duka itu disampaikan pihak pengurusan penyanyi Indigital Music dalam satu kenyataan pagi tadi.

“Dengan berat hati dan berdukacita, kami ingin memaklumkan bahawasanya Siti Sarah Raissuddin telah meninggal dunia pukul 5.13 pagi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus memberikan doa serta sokongan kepadanya sejak dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lalu.

“Sebarang maklumat lanjut akan disalurkan dari semasa ke semasa. Al-Fatihah,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, penyanyi lagu malar segar, Kesetiaan itu juga terpaksa ditidurkan untuk proses pembedahan melahirkan anak dalam kandungan yang berusia tujuh bulan.

Siti Sarah sekeluarga disahkan positif COVID-19 sejak 25 Julai lalu selepas mereka menjalani ujian saringan apabila pembantu rumah disahkan positif wabak itu.

Pasangan itu berkahwin pada 2011 dan memiliki tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6

Petang Rabu lalu, Siti Sarah terpaksa dikejarkan ke HUKM berikutan tahap oksigen yang semakin menurun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

725
Kongsi :
Previous post Siti Sarah meninggal dunia
Next post Pelukan terakhir Siti Sarah…
Ubah saiz-+=