
SKUTER ELEKTRIK UNTUK PARAMEDIK APM MELAKA
KOTA LAKSAMANA 18 Julai – Sebagai sokongan terhadap keperluan perubatan kecemasan negeri ini, syarikat perkhidmatan ujian klinikal bertaraf global dari Amerika, Intrinseque Health tampil menyumbangkan dua buah skuter elektrik (EV).
Skuter bernilai RM11,600 itu disumbangkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka khas untuk pasukan paramedik.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan tersebut amat dihargai sebagai usaha memperkasa sektor kesihatan dan kesejahteraan rakyat di Negeri Melaka.
“Sumbangan ini bukan sekadar simbolik, ia mencerminkan komitmen ikhlas syarikat ini untuk berkembang bersama kita dan menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap padaMajlis Perasmian Pembukaan Intrinseque Health (M) Sdn Bhd, di Jalan Portugis, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Khairul Azreem Mamat dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Intrinseque Health Nitin Jain.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kerk Chee Yee; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong serta lain-lain kenamaan.
Dalam ucapannya, Ab Rauf turut berkongsi inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM) yang dicetus Kerajaan Negeri bagi memberi bantuan kecemasan awal di kampung-kampung dan lokasi tumpuan pelancong.
Jelas beliau, sukarelawan PARAKOM telah menerima latihan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan telah terbukti berjaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit kecemasan yang memerlukan.
“Saya percaya kehadiran Intrinseque Health di Melaka bersama kepakaran teknikal mereka dapat memperkukuh impak inisiatif seperti PARAKOM yang diwujudkan ini dan seterusnya menyokong usaha Kerajaan Negeri memperkasa kesihatan komuniti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.