SMART SBB kurangkan kebergantungan pesawah terhadap orang tengah

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

ALOR SETAR, 13 Feb – Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang mula dilaksanakan tahun lepas dilihat dapat membantu pesawah untuk mengurangkan tahap kebergantungan mereka terhadap orang tengah dalam industri padi beras.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata program yang dikendalikan kementeriannya itu juga akan mengelakkan pesawah dibebani hutang dengan pihak lain untuk mengusahakan tananam mereka.

“Dalam industri padi memang ada orang tengah dan ini adalah bagi memudahkan pesawah kerana mereka (orang tengah) akan membantu dan membiayai kos-kos yang perlu ditanggung oleh pesawah. Tetapi, bukan industri padi sahaja, industri-industri lain juga ada elemen orang tengah ini.

“Melalui SMART SBB ini, kita temukan pesawah terus dengan syarikat peneraju, jadi pesawah tidak perlu berhutang dengan mana-mana pihak untuk usahakan tanaman padi mereka. Program ini tidak akan mengakibatkan pesawah berhutang kerana semua kos pengurusan akan ditanggung oleh syarikat peneraju,” katanya selepas merasmikan Program SMART SBB di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) C-IV Kangkong, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK); MADA dengan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan MADA dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Mengulas mengenai pelaksanaan program itu di negeri ini, Ronald berkata sebagai permulaan ia melibatkan kawasan seluas 100 hektar bertempat di Kampung Tok Jering di bawah pengendalian PPK A-IV Batas Paip yang melibatkan 32 pesawah dan Kampung Permatang Ibus di bawah PPK C-IV Kangkong yang melibatkan 11 pesawah.

“Kesemua pesawah yang menyertai program ini adalah secara sukarela. Mereka hendak sertai SMART SBB ini atau tidak itu pilihan mereka, cuma bezanya sebelum ini pengurusan sawah, kos tanggungan atas pesawah sendiri tetapi melalui program ini syarikat peneraju yang akan tanggung semua.

“Hasil keuntungan padi semua milik pesawah jadi mereka tidak perlu bimbang dan memang tidak timbul isu pesawah akan kehilangan sawah mereka. Jadi, saya harap selepas ini lebih ramai pesawah di bawah MADA akan sertai program yang dapat beri keuntungan kepada mereka ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak September 2020 sehingga kini sebanyak 19 syarikat peneraju telah menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan untuk menyertai SMART SBB dengan menyasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar.

“Seramai 3,811 pesawah telah mendapat manfaat daripada program SMART SBB ini yang melibatkan kawasan penanaman padi seluas 950 hektar di beberapa tempat termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dan IADA Seberang Perak,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1548
Kongsi :
Previous post Kerajaan belum putuskan lanjut pemberian subsidi kepada penternak ayam
Next post 118 graduan KV Datuk Seri Mohd Zin terima Sijil Diploma
Ubah saiz-+=