Sorok 2,210 kg daun ketum di bawah timbunan nanas

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

JELI 23 Jun – Polis mematahkan cubaan menyeludup daun ketum menggunakan taktik menyorok barangan larangan itu di bawah timbunan buah nanas selepas menahan sebuah lori di sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata taktik licik itu dibongkar selepas anggotanya menahan lori dipandu seorang lelaki berumur 35 tahun yang sedang dalam perjalanan dari arah Gerik, Perak ke Jeli pada 2 pagi.

“Sebaik menahan lori tersebut, anggota membuat pemeriksaan di bahagian tempat duduk penumpang dan menemukan satu botol air minuman berisi cecair keperangan dipercayai air ketum.

“Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori itu yang bertutup kanvas hijau menjumpai 221 bungkusan beg plastik hitam yang setiap satu bungkusan itu berisi daun ketum seberat 2,210 kilogram dianggarkan bernilai RM22,110,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad berkata siasatan awal mendapati bekalan daun ketum itu diperoleh dari utara Semenanjung untuk dipasarkan ke Kelantan.

“Suspek yang tidak mempunyai rekod lampau dan negatif dadah ditahan direman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

644
Kongsi :
Previous post Suntikan besar FDI dalam Sunway Group cermin keyakinan terhadap konglomerat, ekonomi Malaysia
Next post Bukit Aman buka 1,897 kertas siasatan atas pelbagai kes media sosial
Ubah saiz-+=