SPR saran bakal calon Padang Serai, Tioman buat semakan awal

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan bakal calon Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negari (DUN) Tioman agar membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri untuk melancarkan proses penamaan calon esok.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pada hari penamaan calon, bakal calon bagi Parlimen Padang Serai boleh menyerahkan kertas penamaan calon dari 9 pagi hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah.

Bagi DUN Tioman adalah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang.

“Seterusnya, calon-calon yang telah sah dinamakan sebelum ini (5 Nov) juga dikehendaki hadir ke Pusat Penamaan Calon (PPC) yang berkenaan antara 9 pagi hingga 10 pagi bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan susunan nama pada kertas undi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bakal calon juga disarankan membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa esok sebagai bukti pembayaran.

“Bagi bakal calon baharu yang mewakili parti politik, diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon,” katanya.

Ikmalrudin berkata hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC manakala orang awam dan penyokong dilarang menunggu dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC.

Beliau berkata penggunaan alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik adalah tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR menyeru semua calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada tersebut,” katanya.

Proses pengundian di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan kepada 7 Dis, susulan calon yang bertanding meninggal dunia.

Calon Pakatan Harapan di Padang Serai, M. Karupaiya,69, meninggal dunia pada 16 Nov lepas dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala calon Perikatan Nasional di DUN Tioman, Md Yunus Ramli, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian, Sabtu lepas.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1459
Kongsi :
Previous post PRU15: Penamaan calon Parlimen Padang Serai, DUN Tioman esok
Next post Koperal tak sempat jumpa anak, maut rempuh lori
Ubah saiz-+=