SRA JAIM Haji Shamsudin mercu baharu gerbang ilmu Ujong Padang

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 23 April. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali hari ini merasmikan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) baharu di Kampung Ujong Padang, dekat sini.

Sekolah berkenaan dibina di atas tanah yang diwakafkan sebuah keluarga berkeluasan 0.958 hektar dan mula dibuka awal tahun ini.

SULAIMAN berucap pada Majlis Perasmian SRA JAIM Haji Shamsudin, Ujong Padang, di sini hari ini.

 

Menurut Sulaiman, sekolah terbabit kini dinamakan SRA JAIM Haji Shamsudin, Ujong Padang bagi memberi penghormatan kepada bapa keluarga Haji Harun Shamsudin yang mewakafkan tanah warisan itu untuk dibina sekolah baharu.

Katanya, dengan siapnya SRA dengan peruntukan RM2.1 juta itu sekali gus dapat memenuhi pertambahan kemasukan murid dari beberapa kariah selari dengan penambahan beberapa taman perumahan baharu di sekitar kawasan ini.

“Sebelum ini pertambahan penduduk membuatkan murid sekolah terpaksa bertumpu di dua sekolah sedia iaitu di SRA JAIM Lubok Redan dan SRA JAIM Kuala Sungai Baru.

“Alhamdulillah, sekolah yang dibina bermula Mac 2018 dan siap pada 2020 ini akhirnya mampu menampung pertambahan murid dengan kapasiti 420 murid dari Tahun Satu hingga Enam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian SRA JAIM Haji Shamsudin, Ujong Padang, di sini hari ini.

SULAIMAN menandatangani plak perasmian SRA JAIM Haji Shamsudin, Ujong Padang, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Masjid Tanah.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, setakat ini kerajan negeri dan Persekutuan telah membina lima SRA sepanjang 2020 hingga 2021 termasuklah sekolah yang dirasmikan hari ini.

“Antaranya, SRA JAIM Ayer Paabas, Alor Gajah; SRA JAIM Permatang, Duyong; SRA JAIM Bukit Larang, Telok Mas dan SRA JAIM Air Merbau, Jasin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2187
Kongsi :
Previous post Lebih 30 barangan terbabit SHMMP Hari Raya Puasa 2021- Nanta
Next post Bazar Aidilfitri dibenar beroperasi hingga 2 pagi mulai esok
Ubah saiz-+=