Sorting by

×

Stesen minyak, restoran, kedai serbaneka dibenar beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah malam

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Lanjutan waktu operasi bagi perkhidmatan stesen minyak, restoran, kedai makan dan kedai serbaneka dibenarkan dari 6 pagi hingga 12 tengah malam untuk semua fasa kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan itu dipersetujui pada mesyuarat kedua Menteri Kuartet COVID-19 hari ini dan akan disyor kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

“Mesyuarat juga memberi fokus kepada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dengan usaha mempermudah 181 SOP kepada 10 sahaja agar berjalan dengan baik sekali gus memberi keyakinan ia dapat diselesaikan seperti dirancang pada permulaan Oktober,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

RESTORAN dibenar beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam. Foto hiasan – (MR Azli)

Beliau juga berkata keputusan kebenaran merentas negeri perlu dibuat secara bertanggungjawab dengan memastikan ia benar-benar selamat.

Hishammuddin berkata, pelbagai faktor perlu dipertimbang termasuk jumlah peratusan vaksinasi dan kemampuan hospital di negeri dalam menangani COVID-19 sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Beliau berkata risiko penularan wabak COVID-19 juga perlu dilihat jika perjalanan secara besar-besaran dibenarkan terutama bagi mereka yang berada di kawasan berisiko.

“Saya harap semua tahu kita bukan sahaja serius tetapi kita juga bertanggungjawab untuk memastikan apabila kita buat kelonggaran, kita lakukannya dalam keadaan selamat dan bertanggungjawab,” katanya yang menggunakan slogan #reopeningsafely berhubung isu kebenaran rentas negeri.

Hishammuddin berkata, pada akhirnya, akan ada sinar di hujung terowong namun rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan dalam membuat keputusan berhubung perkara itu.

Beliau berkata buat masa ini, kerajaan telah memberikan kelonggaran berkaitan rentas negeri seperti projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dan pasangan jarak jauh yang telah lengkap vaksinasi.

“Menuju fasa endemik, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat. Saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1262
Kongsi :
Previous post Bakar tiga kereta sendiri untuk langsai hutang ‘ah long’ RM500,000
Next post Semburan kabus nano tidak mampu ganti kaedah pembersihan permukaan secara manual
Ubah saiz-+=