Stor simpanan barang sebuah pasar raya diarah tutup

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SUNGAI UDANG 4 Mei. – Lantai dipenuhi najis tikus serta air kotor dan menjijikkan, antara keadaan yang dapat dilihat di sebuah stor simpanan barang sebuah pasar raya terkemuka di Bandar Baru, dekat sini, sebelum diarahkan tutup tujuh hari.

Arahan penutupan itu berkuatkuasa hari ini selepas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menjalankan Operasi Hari Raya 2021 secara mengejut di premis berkenaan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, keadaan itu adalah serius kerana barang makanan disimpan di tempat yang kotor sebelum dijual kepada pelanggan di pasar raya berkenaan.

RAHMAD memeriksa barangan dalam Op Hari Raya 2021 di stor simpanan barang sebuah pasar raya di Sungai Udang.

Katanya, pemeriksaan akan dijalankan bagi memastikan premis berkenaan melakukan aktiviti pembersihan namun penutupan premis akan dilanjutkan sekiranya JKN tidak berpuas hati dengan kebersihan tersebut.

“Kita dapati stor simpanan itu mempunyai banyak najis tikus dan bungkusan makanan diletakan di atas lantai serta banyak bungkusan yang koyak disebabkan tikus.

“Terdapat juga barangan makanan dicampur bersama bahan lain seperti bahan pencuci, yang mana tidak sepatutnya berlaku.

“Berikutan itu, kita arahkan tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Op Hari Raya 2021 di pasar raya berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ismail Ali.

RAHMAD menunjukkan buah yang rosak dijual kepada pengguna di sebuah pasar raya di Sungai Udang.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, stor simpanan berkenaan merupakan premis yang keempat diarahkan tutup hasil daripada pemeriksaan berkala dilakukan JKN tahun ini.

Jelasnya, pihaknya turut mengeluarkan kompaun kerana pasar raya berkenaan menjual beberapa barangan tamat tempoh.

“Dalam operasi ini sebanyak 68 barangan disita bernilai RM552.34 atas kesalahan tamat tarikh luput, tiada alamat pengimport dan pembungkusan rosak.

“Berikutan itu, premis berkenaan dikenakan kompaun bernilai RM3,500 atas kesalahan menjual barangan tamat tarikh luput,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2010
Kongsi :
Previous post PKP di enam daerah di Selangor bermula Khamis ini
Next post Melaka benarkan aktiviti ziarah Aidilfitri
Ubah saiz-+=