
SUAMI ISTERI LARI DARI POLIS DICEKUP, MILIKI PELBAGAI REKOD JENAYAH
KESIDANG 18 Julai – Aksi nekad pasangan suami isteri yang menaiki sebuah kereta Proton Wira melarikan diri daripada polis membawa padah apabila kedua-duanya dicekup selepas terbabit kemalangan di bulatan Malim, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, aksi kejar-mengejar berkenaan telah bermula dari sebuah kompleks beli belah di Bachang apabila kedua-dua mereka enggan memberikan kerjasama kepada sepasukan polis dari cawangan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka dan bertindak melarikan diri menghala ke Taman Cheng Ria.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pasangan berusia 28 dan 27 tahun itu bagaimanapun kecundang selepas kereta dinaiki mereka merempuh sebuah kereta peronda polis.
“Kemalangan itu menyebabkan suspek lelaki mengalami kecederaan lebam pada bahagian muka, manakala dua anggota polis yang menaiki kereta peronda tidak mengalami kecederaan.
“Kereta peronda polis itu bagaimanapun mengalami kemek di bahagian hadapan, selain bumper dan lampu hadapan turut pecah.
“Kedua-dua suspek kemudiannya telah ditahan oleh anggota cawangan D9 dan D7 IPK Melaka,” katanya.
Menurut Christopher, kedua-dua suspek dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam kes berkaitan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, pemeriksaan juga mendapati suspek lelaki itu memiliki 18 rekod lampau iaitu 11 rekod jenayah dan tujuh rekod narkotik, manakala suspek wanita mempunyai tiga rekod jenayah dan satu rekod narkotik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.