Suami isteri maut kenderaan jatuh gaung

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUANTAN, 12 Jun – Sepasang suami isteri warga emas maut manakala anak lelaki dan menantu mereka cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki empat sekeluarga itu terjunam ke dalam gaung di Kilometer 192.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa yang maut ialah pesara polis Abd Talib Akob, 73, dan Fauziah Mohd Marzuki, 62, dari Taman Muhibbah, Jerantut.

Nahas pada 5.15 petang semasa hujan lebat itu menyebabkan anak mereka Muhammad Taufik, 34, yang memandu kenderaan parah di kepala manakala isterinya NoorSyafiyana Ahmad Sobri, 34, cedera ringan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan Mitsubishi Triton dinaiki mangsa dari Kuantan menghala ke Jerantut hilang kawalan menyebabkan ia melanggar pembahagi jalan sebelah kiri sebelum terjunam ke dalam gaung,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Jenazah pasangan itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat selepas keputuan ujian saringan COVID-19 diperoleh.

Dalam insiden berasingan, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata seorang penyelia Lee Cheng Yik, 22, maut selepas kereta Porsche Macan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 55.6 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur di Bentong pada 2.30 petang.

Nahas dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan hilang kawalan semasa cuba memotong sebuah Proton Waja menyebabkan kedua-dua kenderaan berpusing sebelum kenderaan mangsa merempuh Proton Saga FLX yang berada di laluan sama.

“Selepas melanggar kereta Proton Saga FLX, kenderaan mangsa difahamkan terjunam ke lorong jalan keluar sebuah stesen minyak yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Bagaimanapun, pemandu kedua-dua kenderaan tidak mengalami kecederaan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1593
Kongsi :
Previous post Melaka United buru kemenangan hatrik!
Next post 1,000 pelajar antarabangsa dijangka mengikuti pengajian di OUM tahun ini
Ubah saiz-+=