Melaka United buru kemenangan hatrik!

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) semakin berkobar-kobar dalam memburu kemenangan hatrik dalam aksi Liga Super musim ini.

Pengurus MUFC Muhammad Akram Abdullah berkata, selepas mencatat dua kemenangan ke atas Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC sebelum ini, skuad Hang Tuah mahu rentak kemenangan itu diteruskan ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan FC di Stadium Hang Jebat pada 18 Jun ini.

Menurutnya, bagi merealisasikan harapan itu, seluruh pasukan telah melakukan persiapan rapi dengan memanfaatkan sepenuhnya sesi latihan sepanjang cuti rehat kalender antarabangsa bermula bulan lalu.

“Alhamdulillah, kita telah memulakan latihan dengan jadual padat selepas cuti Hari Raya Aidilfitri bulan lalu.

“Keyakinan kita pada ketika ini sangat tinggi lebih-lebih lagi selepas mencatat dua kemenangan dan ditambah lagi dapat beraksi di laman sendiri.

“Harapan saya agar para pemain dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk menyekat Negeri Sembilan daripada meraih mata sekali gus dapat memperbaiki kedudukan kita dalam liga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru penyokong MUFC yang dianggap sebagai ‘pemain ke-12’ untuk turun beramai-ramai ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pemain.

“Kami amat mengharapkan kehadiran warga Melaka pada setiap perlawanan Melaka United di Stadium Hang Jebat untuk terus menyuntik semangat pemain-pemain kita yang memerlukan sokongan padu.

“Diharap juga dengan kehadiran lebih ramai penyokong di stadium secara tidak langsung dapat membantu menyumbang kepada kewangan kelab,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1086
Kongsi :
Previous post Nelayan terkejut nampak kelibat buaya di pantai
Next post Suami isteri maut kenderaan jatuh gaung
Ubah saiz-+=