1,000 pelajar antarabangsa dijangka mengikuti pengajian di OUM tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Jun – Lebih 1,000 pelajar antarabangsa dijangka mengikuti pelbagai kursus pengajian yang ditawarkan di Open University Malaysia (OUM) sepanjang tahun ini.

Naib Canselor OUM, Prof Madya Dr Ahmad Izanee Awang berkata, ia merupakan hasil kerjasama pintar bersama institusi pendidikan terkemuka di 10 negara  antaranya Yaman, Bahrain dan yang terbaharu dengan Mauritius.

Menurutnya, selain pelajar antarabangsa, OUM juga menjangkakan seramai 11,500 pelajar tempatan akan mendaftar bagi mengikuti pengajian di universiti itu tahun ini.

“Kemasukan pelajar sebelum ini agak perlahan, impak daripada pandemik COVID-19. InsyaAllah bermula semester September ini, kita akan tingkatkan usaha dengan mengatur lebih banyak kerjasama pintar dengan negara lain pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya anjuran syarikat pegangan bagi OUM, Meteor Sdn Bhd yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan METEOR, Muhammad Afiq Redzuan di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Izanee , kerjasama pintar dengan institusi pendidikan luar  berteraskan empat tunggak OUM iaitu perkembangan, kebolehnampakan, kestabilan dan harmoni.

“Bagi memastikan empat tunggak ini terlaksana, kita perlu pasarkan program pengajian ke luar negara supaya lebih ramai pelajar antarabangsa berpeluang mengikuti pembelajaran di OUM.

“Kita dalam proses mengembangkan usaha ini dan ia juga bersesuaian dengan saranan kerajaan yang mahu lebih banyak kegiatan mengeksport pendidikan ke luar negara,” ujar beliau

Katanya, OUM mempunyai kelebihan tersendiri berbanding institusi pendidikan lain yang menyediakan kemudahan pembelajaran di mana-mana sahaja tanpa memerlukan pelajar meninggalkan negara masing-masing.

Menurutnya, OUM juga menyediakan enam pusat pembelajaran bagi zon Selatan bagi memudahkan pelajar di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan mengikuti pengajian tanpa perlu ke Kuala Lumpur.

“Ini adalah salah satu cara kita untuk mendekati masyarakat yang menyambung pengajian dan mereka tidak perlu datang ke Kuala Lumpur untuk berbuat demikian,” ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya, bagi memastikan pelaksanaan program OUM berjalan lancar, pihaknya sentiasa menitikberatkan hal kebajikan kakitangannya.

“Misalnya, kita menyediakan tajaan sambung pengajian ke peringkat tertinggi kepada kakitangan secara percuma dan pastikan kemudahan yang diberikan adalah lebih baik berbanding institusi pendidikan lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1391
Kongsi :
Previous post Suami isteri maut kenderaan jatuh gaung
Next post Malay Journalism, Berita Malai and the Singapura Years: Said Zahari on A. Samad Ismail
Ubah saiz-+=