Sudah lali nampak ‘kereta terbang’

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

KUALA LINGGI 17 Jun – “Kami sudah lali tengok insiden ‘kereta terbang’ di kawasan ini disebabkan selekoh tajam yang menjadi punca kemalangan jalan raya,” kata penduduk Kampung Teluk Belanga Abu Samah Baba, 65.

Abu Samah yang menetap lebih 60 tahun di rumah pusaka yang terletak bersebelahan dengan selekoh berbahaya itu menyifatkan dia dan keluarga sudah lali dengan kemalangan yang didakwa kerap berlaku di kawasan itu.

Dia mendakwa sudah lebih 100 kemalangan membabitkan pelbagai jenis kenderaan sering berlaku sehinggakan menjadi terbiasa dengan situasi berkenaan.

Malah katanya, pernah berlaku insiden ‘kereta terbang’ akibat kemalangan di selekoh itu sehingga memasuki kawasan rumahnya.

“Kalau kereta terbang akibat terbabas itu memang biasa malah sehinggakan ada yang tercampak ke tepi jalan di seberang jalan sana.

“Kalau yang langgar tembok di tepi jalan itu pun sudah terbiasa malah kadang-kadang kita tengah makan dalam rumah tiba-tiba bunyi berdentum, terpaksa gugup dan keluar berikan bantuan sewajarnya.

“Dulu ada juga kenderaan kru penggambaran dari Kuala Lumpur terbabas dan ‘terbang’ terus masuk ke bawah rumah yang terletak di hadapan rumah saya, namun mujur mereka selamat dan mengatakan stereng yang dipandu tiba-tiba terkunci sendiri selepas lalu di selekoh itu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kediamannya.

ABU Samah

Dalam pada itu, Abu Samah berkata, kawasan itu juga adakalanya menjadi ‘litar’ buat penunggang motosikal menunjukkan lagaknya.

“Motosikal kadang-kadang laju macam berlumba di selekoh itu macam tak ada rasa takut dan gerun pun di kawasan itu.

“Apa pun kita harap perlu ada satu kaedah untuk menakutkan pengguna jalan raya kerana bagi saya jika hanya pasang papan tanda atau sebaliknya ia tidak mampu membantu.

“Malah kalau pasang lampu amaran pun saya takut ia tak berkesan kerana ada juga manusia tangan jahat yang mencuri lampu malah ada yang akan merosakkannya,” katanya.

Tambahnya, kemalangan di kawasan itu terus berlaku sehinggakan semalam (16 Jun) turut berlaku insiden sama di mana terdapat sebuah kereta terbabas di kawasan itu.

“Minggu lalu ada kereta terbalik sebab terbabas di selekoh ini selepas itu esok pula ada lagi kemalangan sama.

“Macam semalam pun berlaku lagi babitkan seorang pemandu dari Gemas tiba-tiba terbabas dalam perjalanannya untuk memancing di kawasan ini,” katanya.

Selekoh Kampung Teluk Belanga yang didakwa telah merekodkan lebih 100 kemalangan.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-rata kenderaan yang lalu di kawasan itu memandu dengan laju seolah tidak menghiraukan selekoh tajam yang ada di situ.

Malah, speed-breaker (garisan kuning) yang diletakkan di selekoh itu seperti tidak cukup tebal membuatkan pemandu yang melalui jalan berkenaan tidak memperlahankan kenderaan mereka.

Dalam pemerhatian sama, halaman rumah penduduk di tepi jalan berdekatan juga terdapat pelbagai sisa kenderaan yang pecah sekali gus menandakan ia menandakan kemalangan kerap berlaku di kawasan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1240
Kongsi :
Previous post Wan Zahidi dilantik Mufti Perak baharu berkuat kuasa Ogos
Next post Kenderaan milik Ahli Parlimen Jelutong terlibat kemalangan
Ubah saiz-+=