Sulaiman jelajah Japerun setiap bulan bertemu rakyat

SERI NEGERI 13 Februari – Hari Bertemu Rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan setiap bulan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha bagi memastikan segala permasalahan rakyat di negeri ini dapat diselesaikan segera.

“Mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) di semua 28 DUN ini biasanya diadakan pada setiap bulan.

“Saya setiap bulan akan menjelajah ke setiap Japerun yang dikelolakan oleh pejabat daerah mengikut daerah masing-masing, pihak Japerun akan kumpulkan semua rakyat yang menghadapi masalah pada hari tersebut.

“Pada masa itu saya akan sekalikan hari saya bertemu dengan rakyat mengikut kepada kesesuaian masa saya, insya-Allah paling tidak setiap bulan saya akan turun ke Japerun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeru Bil 2/2023 di Auditorium Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan dan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Yang turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri ,V.P Shanmugam serta lain-lain barisan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, agensi mahupun jabatan Kerajaan Negeri yang terlibat perlulah menyelesaikan segala aduan rakyat tersebut dalam tempoh seminggu.

“Baru-baru ini saya pergi Hari Bertemu Rakyat di Japerun Serkam, banyak permasalahan dikemukakan dan dapat diselesaikan dalam masa yang munasabah dan secara terus.

“Saya sempat berjumpa dengan orang awam dan banyak perkara diutarakan kepada saya, saya minta agensi berkenaan agar dapat laksanakannya dalam masa yang singkat ataupun secara terus.

“Manakala perkara yang mengambil sedikit masa saya perlu mendapat maklumat dan saya memberikan tempoh seminggu bagi aduan ini diselesaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Previous post Menara ikonik Melaka, daerah Masjid Tanah perlu direalisasikan – KM
Next post Dua rakan maut dalam kemalangan tiga kenderaan