Dua rakan maut dalam kemalangan tiga kenderaan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERKAM 13 Februari – Dua wanita maut apabila kereta dinaiki terbabas dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Kampung Sri Mawar, di sini, pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hamdan Sudin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, kedua-dua mangsa, Nuraisah Djaapar, 34, dan rakannya, Noor Izwani Ali Mohd Nor meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kedua-dua mangsa terbabit dipercayai pekerja sebuah kilang elektronik di Batu Berendam.

“Sepasukan lapan anggota termasuk dua daripada Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba Bukit Katil telah dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat pada jam 7.45 pagi.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) tiba di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Altis, Nissan Almera dan sebuah motosikal Yamaha Y16.

“Terdapat empat mangsa iaitu dua wanita menaiki Nissan Almera meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, jelas Mohamad Hamdan, dua lagi mangsa adalah lelaki iaitu pemandu yang tersepit di dalam Toyota Altis dan penunggang motosikal yang cedera ringan.

Kedua-dua mangsa ujarnya, diberi rawatan awal oleh anggota EMRS.

“Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan setelah memastikan tiada risiko kemerbahayaan lain, anggota bersama jentera bertolak pulang semula ke balai.

“Operasi menyelamat tamat kira-kira jam 9.04 pagi tadi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6437
Kongsi :
Previous post Sulaiman jelajah Japerun setiap bulan bertemu rakyat
Next post Konsep Madani angkat martabat manusia, bantu pembangunan negara – KM
Ubah saiz-+=