Menara ikonik Melaka, daerah Masjid Tanah perlu direalisasikan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERI NEGERI 13 Februari – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mahu dua hasrat Kerajaan Negeri iaitu pembinaan menara ikonik Melaka dan penubuhan daerah Masjid Tanah direalisasikan.

Dalam ucapannya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bilangan 2/2023 bertemakan ‘Menerap Aspirasi Madani, Mencorak Budaya Proaktif’ beliau memberi penegasan kepada dua hasrat tersebut memandangkan menurutnya tiada kemajuan dan perkembangan dicapai buat masa ini.

Sulaiman berkata, bagi pembinaan menara ikonik yang sebelum ini diletakkan di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), ia kini dipindahkan kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI) bagi memastikan perancangan pembinaan menara itu dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Manakala, bagi penubuhan Daerah Masjid Tanah, beliau meminta pihak yang berkaitan agar dapat menyiapkan laporan perkembangan terkini.

Jelas Sulaiman, sebagaimana yang telah disampaikan pada Amanat Tahun Baharu yang lepas, kesemua wakil rakyat dan penjawat awam perlu ada daya proaktif dalam usaha merekayasa perkhidmatan awam dan memastikan setiap perkhidmatan serta sistem penyampaian memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau turut meminta semua yang terlibat agar bersatu hati dan bulatkan tekad untuk bekerja sebagai sebuah pasukan yang mantap dalam menjayakan agenda pembangunan Negeri Melaka.

“Harapan saya agar setiap penjawat di Melaka akan terus memberikan komitmen yang tinggi demi memastikan agenda perancangan strategik terutamanya berkaitan pembangunan negeri dapat direalisasikan dan paling penting sekali adalah nikmat kesejahteraan itu dapat dirasai oleh seluruh rakyat Negeri Melaka.

“Tiada makna andai kita hanya pandai mengungkap ‘Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia…’ jika ada lagi golongan yang masih terpinggir, terhimpit dan sengsara.

“Oleh itu, marilah kita sama-sama berganding bahu, rapatkan saf, kerja sebagai satu pasukan, ikut segala perancangan, nescaya Melaka terus mara ke arah negeri lestari dan memenuhi konsep dan aspirasi Malaysia M.A.D.A.N.I,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1798
Kongsi :
Previous post Melaka Talent Corp. diwujudkan, kumpul pakar ‘think thank’
Next post Sulaiman jelajah Japerun setiap bulan bertemu rakyat
Ubah saiz-+=