Surat nasihat bubar DUN dibuat ketika masih KM – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BATU BERENDAM 8 Okt. – Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menegaskan beliau masih memegang jawatan Ketua Menteri ketika menghantar surat nasihat kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Beliau berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa surat nasihat pembubaran DUN itu tidak mengikut lunas undang-undang adalah tidak benar memandangkan ia dibuat mengikut peraturan yang sewajarnya.

“Apa yang saya ingin maklum bahawa surat saya kepada Tun (Mohd Ali) adalah ketika saya masih lagi CM (Ketua Menteri) of The Day. Jadi saya serah kepada Tun (Mohd Ali) dan terpulanglah kepada kuasa Tun (Mohd Ali)… itu sahaja.

“Semua tohmahan itu saya menafikan dan serahkan kepada perundangan. Jika tidak berpuas hati pergilah kepada pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, di sini, hari ini.

Hadir sama, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman.

Sementara itu, Sulaiman menyerahkan kepada rakyat menentukan penyelesaian polemik politik di Melaka setelah beliau hilang kepercayaan dalam memimpin negeri ini.

Menurutnya, beliau akur dengan situasi politik yang tidak nampak titik penyelesaian biarpun surat permohonan Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu telah diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam.

“Apa boleh saya buat apabila dalam kalangan rakan-rakan saya yang keluar dan hilang kepercayaan kepada saya?

“Namun tidak mengapa, jawatan ini adalah sementara, ‘people come and go’ (orang datang dan pergi), jadi seeloknya kita serahkan kepada rakyat sebaik pembubaran DUN telah dibuat.

“Saya hanya menjalankan tugas saya dan nampak tidak ada jalan penyelesaian. Jadi eloklah masing-masing kalau kata kita boleh berkhidmat inilah masa yang terbaik kita semua serah balik mandat kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman dalam ucapan ringkas sebelum menyampaikan bantuan kit makanan di masjid terbabit kelihatan sebak menyatakan kepimpinannya itu adalah ujian dari Allah.

Beliau juga sempat memohon maaf di atas situasi yang berlaku di negeri ini kerana tidak sempat melunaskan baktinya kepada rakyat Melaka.

“Allah memberikan kerajaan kepada sesiapa yang dikehendaki, walau bagaimanapun saya minta maaf.

“Cuma banyak perkara yang belum dapat saya lakukan, namun (saya) kembalikan kepada rakyat, buatlah pilihan yang terbaik.

“Saya reda atas apa yang berlaku dan akur ini adalah ujian Allah dengan jawatan yang dipinjamkan. Ini adalah ketentuan Allah, yang boleh menghina dan memuliakan sesiapa yang dikehendaki-Nya,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

520
Kongsi :
Previous post Melaka: Kerajaan buat keputusan minggu depan – PM
Next post Lepas jumpa Anwar, jumpa Mat Sabu pula…
Ubah saiz-+=