SWM Environment sertai misi bantuan pasca banjir ke Johor

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MELAKA 28 Mac – SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menyertai Kerajaan Negeri Melaka dalam menjayakan misi bantuan pasca banjir ke Johor baru-baru ini yang melibatkan 44 kenderaan dengan 203 kakitangan dari pelbagai agensi.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, majlis pelepasan rombongan itu dilaksanakan di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebelum bertolak ke Yong Peng, Johor bagi membantu penduduk terjejas banjir di daerah itu.

“Misi bantuan banjir ke negeri Johor oleh pihak SWM Environment bermula sejak 10 Mac yang lalu dengan menggerakkan empat unit jentera jengkaut (JCB) dan lapan unit RORO melibatkan 19 pekerja pembersihan ke Johor bagi membantu lokasi-lokasi yang memerlukan.

“Dalam rombongan pasca banjir itu, SWM Environment bersama rombongan Kerajaan Negeri Melaka yang terdiri daripada pelbagai agensi ke Pusat Pemindahan Sementara Kampung Parit Awang, Yong Peng dengan menghantar pacuan empat roda bersama empat kakitangan bagi penghantaran sumbangan bantuan makanan dan minuman,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa sama ketika bantuan itu, mangsa-mangsa banjir dinasihatkan untuk mendapatkan penggantian tong sampah beroda (TSB) yang baharu secara percuma terutamanya bagi mereka yang mengalami kerosakan tong atau hanyut akibat banjir.

“Semoga dengan bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terjejas dengan bencana ini dan tabah menghadapi ujian itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana melaksanakan inisiatif murni berkenaan dan pihaknya berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi membantu mangsa terjejas akibat bencana.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2386
Kongsi :
Previous post Dua lelaki ditahan bantu siasatan pukul pemandu treler
Next post Pesara kerajaan putih mata wang simpanan lesap hampir RM200,000
Ubah saiz-+=