Pesara kerajaan putih mata wang simpanan lesap hampir RM200,000

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

ALOR GAJAH 28 Mac – Seorang pesara kerajaan kerugian hampir RM200,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai peguam dan polis, awal Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata wanita berusia 50-an itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang bernama Faridah yang mendakwa dirinya peguam pada jam 8.30 malam 21 Disember tahun lalu.

Katanya, dalam perbualan itu, suspek mengatakan pengadu disyaki terlibat dalam kes penggubahan wang haram sebelum panggilan itu disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi membuat aduan.

“Pengadu kemudian dimaklumkan terlibat dalam kes penggubahan wang haram serta terdapat waran tangkap atas nama mangsa.

“Pengadubagaimanapun menafikan terlibat dalam kes tersebut dan disoal siasat yang mana diminta untuk memberikan segala butiran akaun bank bersama baki wang.

“Selepas memberikan butiran tersebut, dia diarahkan untuk membuat akaun bank baharu dan memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun bank baru tersebut dalam tempoh 28 Disember tahun lalu hingga 2 Januari tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata selepas memindahkan semua wang ke dalam akaun baharu tersebut, pengadu mula menyedari wang dalam akaun baharu miliknya dipindahkan ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuannya yang keseluruhannya berjumlah RM194, 219 pada 6 Januari lalu.

“Pengadu mula menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah pada Jumaat lalu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak melayan sebarang panggilan daripada individu tidak dikenali serta memberikan maklumat serta butir peribadi perbankan.

Katanya, sekiranya orang ramai berdepan dengan masalah itu diminta untuk menghubungi panggilan Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 bagi membuat tindakan pantas bagi menyekat wang yang dipindahkan kepada sindiket penipuan.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2708
Kongsi :
Previous post SWM Environment sertai misi bantuan pasca banjir ke Johor
Next post Anak mengaku salah kelar ibu, adik hingga cedera parah
Ubah saiz-+=