Dua lelaki ditahan bantu siasatan pukul pemandu treler

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SHAH ALAM, 28 Mac – Polis menahan dua lelaki disyaki memukul seorang pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan seorang murid perempuan di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, dekat sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata kedua-duanya yang berusia 38 tahun ditahan semalam bagi membantu siasatan susulan laporan dibuat pemandu treler berkenaan pada 8.14 malam, hari sama.

Beliau berkata hasil semakan mendapati seorang daripada lelaki itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Pegawai penyiasat dalam proses melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Cha berkata setakat ini polis telah memanggil enam saksi bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan serta mendatangkan kecederaan dan kesalahan khianat terhadap harta benda.

Beliau berkata pihaknya pada masa sama telah mengenal pasti seorang suspek iaitu Muhammad Putra Abdullah, 31, yang dipercayai terlibat dalam kes itu selain meneruskan usaha mengesan suspek lain.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Muhammad Putra dan kejadian berkenaan diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3376 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Pada Rabu lepas, Bernama melaporkan seorang pemandu lori treler berusia 36 tahun cedera dibelasah orang ramai susulan kemalangan maut membabitkan seorang murid perempuan yang membonceng motosikal bersama seorang wanita dan adik lelakinya di Kampung Telok Gong.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1317
Kongsi :
Previous post Bazar Ramadan platform PMKS pasarkan produk
Next post SWM Environment sertai misi bantuan pasca banjir ke Johor
Ubah saiz-+=