Tabung Pahlawan: Sinar veteran ATM, PDRM

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

SERI NEGERI 12 Ogos – Sumbangan kepada Tabung Pahlawan, amat bermakna buat pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan ada dalam kalangan mereka kini dalam keadaan terlantar.

Presiden Persatuan Pesara Polis Negeri Melaka, Yahya Md Sahid berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Melaka dan semua pihak tidak putus memberikan sokongan khusus dalam membela nasib ahli kurang bernasib baik.

Katanya, sejak ditubuhkan 11 tahun lalu persatuan itu tidak putus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak yang prihatin dan menghargai jasa pasukan keselamatan kepada mereka dan negara.

“Kini kami ada 1,000 ahli berdaftar, semua sumbangan diterima digunakan untuk membantu ahli yang uzur termasuklah membeli peralatan sokongan bagi mereka yang mengalami kecacatan.

“Bantuan diterima turut disalurkan ke tabung khairat kematian, membiayai kos rawatan hospital selain sumbangan menunaikan ibadah haji dan umrah. Ada dalam kalangan ahli kami adalah anggota pasukan keselamatan yang berkhidmat pada tahun 1970-an.

“Kami berharap semua pihak terus hulurkan sumbangan dan memberi sokongan ahli kami yang berkorban demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Pelancaran Tabung Pahlawan Tahun 2022 di Dataran Seri Negeri, di sini, hari ini.

MOHAMAD Fazil (tengah) pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Pelancaran Tabung Hari Pahlawan Tahun 2022 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie berkata, tabung yang dilancarkan itu amat bermakna buat ahlinya yang kurang bernasib baik.

Mohamad Fazil berkata, jasa dan pengorbanan semua anggota pasukan keselamatan tidak boleh dibandingkan dengan wang ringgit.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak terlibat dalam menjayakan tabung ini, PVATM akan menggunakan sumbangan diterima untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan ahli terjamin.

“Malah kami sendiri akan menganjurkan program ziarah kasih dalam masa terdekat untuk bertanya khabar ahli terlantar dan menyampaikan sumbangan anak yatim kepada keluarga terlibat,” katanya.

YAHYA (tengah) pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Pelancaran Tabung Hari Pahlawan Tahun 2022 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka. Foto: MR. AZLI

MOHAMAD Fazil (tengah) pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Pelancaran Tabung Hari Pahlawan Tahun 2022 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka. Foto: MR. AZLI

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1846
Kongsi :
Previous post Piala Dunia 2022 bermula sehari awal
Next post Melaka United tidak ‘cuak’ berdepan Tok Gajah
Ubah saiz-+=