TAHANAN LOLOS DICEKUP DI KEBUN DURIAN

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

ALOR GAJAH 28 November – Tahanan lelaki warga Indonesia yang meloloskan diri ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Gajah pada Isnin, berjaya ditahan semula di sebuah kebun durian di Taman Melaka Pindah, di sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan dalam Op Berkas yang dijalankan kira-kira jam 6.10 petang ketika bersembunyi di kebun berkenaan.

Katanya, sebaik menerima laporan yang dibuat oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhubung kejadian pasukan polis menggerakkan Op Kesan dan Op Tutup yang turut membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Ketika ditemui suspek terbabit tidak bergari dan berlaku pergelutan apabila lelaki itu enggan memberikan kerjasama.

“Siasatan berhubung kejadian masih diteruskan dan kita percaya dia bertindak sendiri selain tidak menerima bantuan daripada individu lain,” katanya.

Menurut Md Nazri, suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Gajah untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan dilakukan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi Isnin, lelaki terbabit dilaporkan lolos ketika dibawa masuk ke dalam kenderaan penguat kuasa.

Dia sebelum itu dibawa pegawai JKDM ke mahkamah bagi sebutan semula kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Susulan kejadian itu, pihak polis melancarkan Op Tutup Dan Op Kesan bagi menangkap lelaki terbabit selain operasi turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

120
Kongsi :
Previous post PEMBERSIHAN LONGKANG LEBIH KERAP – JKR MELAKA
Next post PEMANDU, DUA PENUMPANG RENTUNG KERETA REMPUH TEMBOK JAMBATAN
Ubah saiz-+=