PEMBERSIHAN LONGKANG LEBIH KERAP – JKR MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 28 November – Pembersihan longkang di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka akan dijalankan dengan lebih kerap sepanjang musim hujan yang berlaku kini.

Pengarah JKR Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar berkata, usaha itu bagi mengatasi banjir kilat melanda negeri ini yang didapati berpunca daripada masalah saliran longkang.

“Hari ini kita mengadakan gotong-royong di Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) untuk melihat sendiri kawasan ini yang kerap berlaku banjir hingga mencapai kedalaman air 0.3 hingga satu meter.

“Punca utama kita kenal pasti banjir berlaku kerana terdapat daun kering dan dahan pokok yang jatuh di dalam longkang hingga menyebabkan saliran air tersekat.

“Jadi kita mengambil inisiatif sepanjang musim tengkujuh ini dengan menambah ‘cycle’ atau pusingan pembersihan longkang lebih kerap yang mana sebelum ini adalah tiga bulan sekali mengikut kontrak ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Gotong-Royong Untuk Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) Di Lokasi Kerap Berlaku Banjir Kilat di Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil.

Menurutnya, kekerapan jadual pembersihan longkang tersebut bagi memastikan saliran air di kawasan dilanda banjir kilat berjalan lancar.

“Jadi ‘cycle’ ini kita tambah dengan aktiviti gotong-royong atau program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan JKR sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

52
Kongsi :
Previous post MBMB PERUNTUK HAMPIR RM10 JUTA UNTUK ATASI BANJIR KILAT
Next post TAHANAN LOLOS DICEKUP DI KEBUN DURIAN
Ubah saiz-+=