Tak sampai satu jam mencuri, penganggur dicekup

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PAYA RUMPUT 21 Disember – Seorang lelaki ditahan selepas mencuri beg silang kepunyaan seorang pemandu van dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Krubong, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata suspek yang tidak bekerja berusia 42 tahun itu ditahan tidak sampai satu jam selepas dia melakukan jenayah tersebut.

Katanya, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 3 petang, ketika suspek mencuri beg silang milik pemandu seorang lelaki berusia 45 tahun yang diletakkan di tempat duduk sebelah pemandu dalam van tersebut.

“Ketika sedang menurunkan barang dari kenderaan, dia menyedari beg kepunyaannya diambil oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha.

“Susulan itu mangsa bertindak mengejar suspek di Jalan Utama Krubong Jaya, sejauh kira-kira dua kilometer dengan menggunakan van,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher Patit berkata, pemandu van terbabit yang berjaya menahan suspek kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Suspek yang mengalami kecederaan akibat kemalangan ketika cubaan melarikan diri dibebaskan dengan jaminan polis dan dibawa ke Hospital Melaka untuk dirawat.

“Malah polis turut difahamkan suspek mempunyai rekod sakit mental dan mendapat rawatan di hospital,” katanya.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, semakan dilakukan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2319
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak lapan tahun lemas di taman tema
Next post Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 dibatalkan
Ubah saiz-+=