Taman Kasa Height perintis ‘Taman Sifar Sampah’

Masa Membaca:2 Minit, 47 Saat

ALOR Gajah 4 Nov – Taman Kasa Height menjadi taman perintis kepada program Taman Sifar Sampah dan Pembuatan Baja Kompos melalu inisiatif Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dalam membentuk komuniti yang lestari dalam kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan berkata, pemilihan Taman Kasa Height sebagai perintis program itu berdasarkan pergerakan aktif jawatankuasa persatuan penduduk taman itu dalam memberikan sokongan kepada program pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya, MPAG amat menghargai keperihatinan dan sokongan padu yang ditunjukkan oleh penduduk taman itu bagi mengerakkan program Taman Sifar Sampah di taman tersebut sekali gus menjadi contoh kepada taman perumahan lain.

“Program jalinan kerjasama antara MPAG dan persatuan penduduk ini merupakan cetusan idea daripada Jabatan Perancangan Bandar mengikut matlamat Pembangunan Mampan 2030 dan ia merupakan langkah awal yang penting bagi membentuk sebuah komuniti yang lestari

“Sisa Sifar merupakan satu elemen yang penting kerana semakin kurang sampah yang dihasilkan maka kita dapat memanjangkan jangka hayat tempat pelupusan sampah yang sedia ada di negeri ini iaitu di Sungai Udang,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu melancarkan program Taman Sifar Sampah dan Pembuatan Baja Kompos di Taman Kasa Height, Alor Gajah, baru-baru ini.

Yang turut hadir Setiausaha MPAG, Datuk Saleh Mohd Dom dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kasa Height, Mohd Zikrullah Shah Mohd Dali.

MOHD Fadhil (kanan) dan Salleh (kiri) mengecat pondok rehat yang disediakan pada taman rekreasi Taman Kasa Height sempena pelancaran program Taman Sifar Sampah dan Pembuatan Baja Kompos di taman itu.

Selain itu menurut Mohd Fadhil, program Taman Sifar Sampah merupakan satu inisiatif MPAG dalam menjaga, memelihara dan melindungi alam sekitar bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan kitar semula dan melaksanakan pengasingan sampah.

Katanya, setiap anggota masyarakat berperanan untuk bersama-sama melestarikan alam sekitar bermula dari rumah dengan melakukan pengasingan sisa buangan dan kitar semula bagi menjamin pembangunan mampan yang berkekalan.

“Sekiranya kita dapat menjalankan kitar semula dan pengkomposan, ia dapat mengurangkan banyak sampah yang dihantar ke tapak pelupusan di Sungai Udang.

“Oleh itu kerjasama antara persatuan penduduk, SWCORP dan MPAG dalam program ini amat penting kerana ia memupuk satu ikatan ke arah mewujudkan kepentingan mengurangkan penjanaan sisa pepejal atau sampah sarap,” katanya.

Pada masa yang sama, kata beliau, masyarakat berpeluang mempelajari teknik pembuatan baja kompos sebagai langkah dan amalan yang boleh menyumbangkan ke arah pengekalan keindahan dan kelestarian alam serta memupuk minat komuniti memelihara dan mencintai alam sekitar.

Malah, ujarnya, program Taman Sifar Sampah juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 2030 dengan matlamat menjadikan bandar dan penempatan penduduk secara menyeluruh, selamat, berdaya huni dan mampan.

Menurut Mohd Fadhil, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan peruntukkan RM19,100 kepada MPAG dalam mengerakkan dua program sepanjang tahun ini iaitu sejumlah RM10,000 bagi program Taman Sifar Sampah manakala selebihnya untuk program tanam pokok serta pelepasan anak benih ikan di Taman Rekreasi Durian Daun pada 22 Oktober lalu.

Bagi program Taman Sifar Sampah, katanya, ia melibatkan aktiviti pengumpulan sisa barangan kitar semula (kertas, plastik dan aluminium), barangan elektrik (e-waste) dan sisa fabrik, penerangan pembuatan baja kompos oleh SWCorp dan pengindahan taman permainan kanak-kanak di Taman Kasa Height.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang untuk mewujudkan kebun komuniti bagi memberi peluang kepada penduduk mengusahakan tanaman dan menjana pendapatan selain program pengindahan kawasan taman perumahan secara gotong royong bersama penduduk setempat di masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

994
Kongsi :
Previous post BN umum calon PRN Melaka secara maya, Sabtu ini
Next post PRN Melaka: PH dijangka umum calon sehari dua lagi
Ubah saiz-+=