
TAMAN KEBAYA BAKAL TERIMA GELANGGANG FUTSAL BAHARU
REMBIA 29 Julai – Penduduk Taman Kebaya, Paya Datok, di sini, bakal menerima kemudahan riadah baharu iaitu sebuah gelanggang futsal yang akan memberi manfaat kepada komuniti menjelang hujung tahun ini.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pembinaan gelanggang futsal baharu itu dianggarkan menelan kos hampir RM200,000.
Katanya, Japerun Rembia telah mengemukakan permohonan pembinaan gelanggang tersebut kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan sedang menunggu kelulusan daripada kementerian terbabit.
“Projek ini bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti. Gelanggang ini bakal memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk Taman Kebaya dan sekitarnya.
“Kita mengharapkan projek ini diluluskan oleh Kementerian Ekonomi,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kempen Wabak Denggi Tahun 2025 di Dewan Taman Kebaya, Paya Datok, di sini, pada Ahad.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata kemudahan gelanggang itu juga merupakan antara usaha MPAG dalam menyokong pembangunan infrastruktur komuniti yang mampan.
“Saya percaya apabila gelanggang ini diluluskan dan siap kelak, ia bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup penduduk setempat malah boleh menyumbang ke arah pembentukan masyarakat sihat sertaharmoni.
“Kita harap ia dapat digunakan secara optimum terutama golongan belia untuk aktivit sihat dan berfaedah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.