Taman Tema Samudera dilengkapi ‘gondola kedua terbesar Asia’ bakal dibina

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KLEBANG 18 Ogos – Sebuah taman tema keluarga bercirikan hiburan pendidikan (edutainment) dilengkapi dengan gondola (Ferris Wheel) kedua terbesar di Asia bakal dibina di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pembinaan kedua terbesar selepas ‘Singapore Flyer’ itu sekali gus merekodkan gondola terbesar di Malaysia akan dibina di Klebang mampu merancakkan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.

Ujarnya, pusat rekreasi keluarga dinamakan sebagai Taman Tema Samudera seluas 3.65 hektar itu juga akan dibangunkan sepenuhnya dengan pelbagai tarikan tersendiri termasuk perkhidmatan bot restoran bergerak yang akan menyusuri di Selat Melaka.

PELBAGAI tarikan lain akan dibangunkan di lokasi berdekatan Muzium Kapal Selam, sekali gus menarik pelbagai tarikan pelancongan di Melaka.

“Seperti perancangan, kita akan membina sebuah lagi bot Mendam Berahi dan konsep sama yang telah dilaksanakan di Sungai Melaka ini kita akan bawa dan tawarkan di lokasi lain iaitu di Selat Melaka.

“Malah kita akan bangunkan dengan lebih banyak tarikan lain termasuk seperti yang ada sekarang adalah Muzium Kapal Selam dan kita akan tambah lagi monumen-monumen pameran lain seperti kereta kebal dan sebagainya dalam menekankan konsep ‘edutainment’ ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pada masa sama, jelasnya taman tema berkenaan turut dilengkapi dengan pameran interaktif lain dengan menekankan konsep akuarium yang akan menjadi tarikan utama di kawasan itu.

“Akuarium yang dilengkapi dengan pameran interaktif menggunakan konsep sentuhan layar (touch screen) turut digunakan dengan teknologi yang bakal dibina bagi memberi peluang pelancong berinteraksi dengan hidupan ikan yang terdapat di kawasan berkenaan.

“Mercu baharu pelancongan Melaka bakal dibina sekitar RM400 juta ini akan dilancarkan pada projek pemecahan tanah tidak lama lagi dan ini pastinya akan membuka lagi pelbagai manfaat baharu selain dari sektor pelancongan.

“Perkara ini akan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada masyarakat hasil daripada sektor ekonomi utama negeri ini,” katanya.

Views:

843
Kongsi :
Previous post Pelbagai insentif buat pencarum Perkeso
Next post MYFutureJobs peluang cari kerja semula
Ubah saiz-+=