MYFutureJobs peluang cari kerja semula
AYER KEROH 18 Ogos – Karnival PenjanaKerjaya ‘Melaka CareerTrans 2020’ mencerminkan aspirasi kerajaan yang sentiasa merasai denyut nadi rakyat.
Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, demi membantu pencari kerja dan mereka yang kehilangan pekerjaan, aktiviti padanan pekerjaan dan penempatan pekerjaan semula adalah penting.
“Ini bertepatan dengan portal pekerjaan ‘MYFutureJobs’ yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Saya menggesa semua pencari kerja dan majikan yang memerlukan pekerja supaya mendaftar di portal MYFutureJobs,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Penjana Kerjaya Perkeso ‘Melaka Careertrans 2020’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Jelasnya, pendaftaran adalah percuma dan antara
perkhidmatan yang disediakan adalah penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan Program Pasaran Buruh Aktif.
“Karnival ini bukan saja peluang untuk para pencari kerja, malah peluang buat syarikat-syarikat mengambil kakitangan baharu untuk berkhidmat di syarikat mereka,” katanya.
Tambahnya, melalui Program Latihan Insentif PenjanaKerjaya (IPK), elaun latihan diberikan sehingga RM4,000 bagi setiap pekerja dan permohonan dibuat melalui majikan.
“Sehingga 14 Ogos lalu, 315 penyedia latihan telah mendaftar dengan portal MYFutureJobs yang menyediakan 5,126 kursus dalam 42 bidang.
“Tiga bidang utama adalah Perakaunan, Hospitaliti & Hotel, serta Informasi & Teknologi Maklumat,” katanya lagi.