Tanah runtuh: Kanak-kanak lelaki sasaran akhir pasukan mencari

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BATANG KALI, 24 Dis – Berbaki satu lagi mangsa yang hilang dipercayai seorang kanak-kanak lelaki, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kesembilan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di Gohtong Jaya, di sini diteruskan hari ini.

Semalam, walaupun cuaca dilaporkan baik namun operasi berkenaan ditangguhkan sementara pada 11 malam atas faktor keselamatan pasukan mencari.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata operasi hari ini melibatkan 53 anggota daripada JBPM, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

“Selain itu, 10 ekor anjing pengesan K9 dan sembilan jengkaut digunakan hari ini dengan fokus pencarian di sektor A,” katanya.

Hari ini pasukan mencari akan giat mengesan kanak-kanak lelaki malang itu, yang juga seorang daripada 92 angka rasmi bilangan mangsa disahkan terlibat dalam kejadian runtuhan pada Jumaat (16 Dis) lepas.

Dalam kejadian tersebut, 61 individu terselamat, manakala 30 nyawa dilaporkan terkorban setakat ini dan kesemua mereka juga sudah dikenal pasti dan dituntut waris masing-masing.

Daripada jumlah mangsa terkorban itu, enam adalah lelaki dewasa, 12 wanita dewasa dan 12 kanak-kanak masing-masing enam lelaki dan enam perempuan.

Sementara itu, tinjauan di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mendapati pengamal media mula tiba di situ secara berperingkat bagi menunggu perkembangan terkini mangsa terakhir.

Anggota penyelamat juga mula memasuki lokasi pencarian secara berkumpulan diketuai pasukan bomba diikuti polis, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam serta pasukan SMART.

Selain itu, cuaca juga dilaporkan baik namun jalan menuju ke PKTK dilihat berhabuk susulan lumpur kering di atas jalan raya. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1257
Kongsi :
Previous post Pelapis, pewaris seni budaya dalam pembikinan
Next post Kem 4K: Pelapis cilik bawa pulang pengalaman ‘mahal’, berharga
Ubah saiz-+=