Pelapis, pewaris seni budaya dalam pembikinan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 24 Disember – Kem Kesenian Kanak-Kanak Kebangsaan 2022 mampu melahirkan pelapis seni budaya dan menyemarakkan industri seni budaya agar terus berdaya saing pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Rosnan Nordin berkata, program tersebut menghimpunkan seramai 320 remaja berusia 10 hingga 17 tahun yang berbakat cemerlang dalam bidang tari, teater, muzik dan permainan tradisional.

Katanya, program bermula pada 19 hingga 23 Disember itu berbentuk latihan, motivasi, ceramah, aktiviti komuniti dan diakhiri dengan konsert apresiasi.

“Menerusi program ini juga kita dapat hidupkan kembali tarian istana yang semakin pupus, tarian yang dialun dengan rentak gamelan ini kita ajar pada peserta, sekali gus dapat memelihara tarian ini.

“Insya-Allah, tarian ini kita akan ajar di setiap negeri sebagai usaha memelihara tarian istana ini. Begitu juga muzik, kita gabungkan cak lempong dan gamelan pada satu masa.

“Ini adalah hasil seminggu mereka mengikuti Kem Kesenian Kanak-Kanak Kebangsaan 2022 di bawah seliaan JKKN Melaka” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konsert Apresiasi Kem Kesenian Kanak-Kanak Kebangsaan 2022 di Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka di sini, malam tadi.

Konsert itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.

Hadir sama, Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Elias.

Dalam pada itu, Rosnan berkata kesemua pelajar yang mngikuti kem terbabit akan dipantau oleh pegawai-pegawai kebudayaan di setiap negeri selama setahun untuk melihat perkembangan bakat mereka.

Katanya, pihak JKKN turut bercadang untuk mengadakan program tersebut sebagai acara tahunan.

“Program akan bermula dari Januari hingga Disember, dan pada Disember ini kita adakan pada masa cuti skolah, sama juga pada tahun mendatang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2287
Kongsi :
Previous post TYT dan isteri hadir Konsert Apresiasi Kem Kesenian Kanak-Kanak Kebangsaan 2022
Next post Tanah runtuh: Kanak-kanak lelaki sasaran akhir pasukan mencari
Ubah saiz-+=