Kem 4K: Pelapis cilik bawa pulang pengalaman ‘mahal’, berharga

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 24 Disember – Kem Kesenian Kanak-Kanak Kebangsaan 2022 (Kem 4K) menjadi pentas buat pelajar sekolah mengasah bakat seni ke arah profesional.

Itu kata salah seorang peserta Kem 4K, Liya Atiqah Abd.Rashid 16, yang menyertai kem selama lima hari di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ayer Keroh itu.

Peserta dari Selangor itu berkata, dia merupakan antara dua peserta perempuan yang menyertai kem itu dalam bidang permainan gasing.

“Pengalaman saya sepanjang lima hari di sini, memang seronok, selain kami dapat berkongsi bakat, di sini juga kami dapat belajar ilmu baharu dan kenal lebih ramai kawan baharu daripada cabang seni berbeza.

“Walaupun saya dalam bidang gasing, tapi kami di sini turut mendapat motivasi daripada otai dalam pelbagai bidang seperti teater, tarian dan muzik,” katanya yang turut memenangi anugerah peserta terbaik gasing wakil perempuan pada Konsert Apresiasi Kem 4K, malam tadi.

IMG_20221224_110516_270
AYER KEROH 24 DISEMBER 2022. Peserta, Liya Atiqah Abd. Rashid, 16. Foto: MR. AZLI

Nada sama turut disuarakan peserta cilik dari Perak, Muhammad Aryan Danial Khuzaimi Suhaimi, 10, yang menyifatkan kem 4K itu sebagai pengisian terbaik sepanjang cuti sekolah.

“Apa yang boleh dikongsikan banyak, tapi apa yang boleh dikatakan, kem ini memang seronok, selain jumpa dan kenal kawan-kawan baharu dari negeri-negeri lain, kami juga belajar tarian baharu.

“Baharu bagi saya adalah tarian zapin dan tarian istana, di mana turut dimaklumkan tarian istana ini sudah semakin ditelan zaman, sekaligus kem ini jadi pentas untuk memelihara tarian-tarian yang hampir pupus kepada generasi muda seperti saya,” ujarnya.

IMG_20221224_105428_828
AYER KEROH 24 DISEMBER 2022. Peserta, Muhd Danish Asyraaf Nadiman, 17. Foto: MR. AZLI

Manakala bagi seorang lagi peserta, Muhd Danish Asyraaf Nadiman,17, berasal dari Sarawak berkata, kem tersebut mengajarnya erti berdikari dan mengenali budaya baharu.

“Saya sangat seronok dapat kenal budaya dan kesenian baharu selain itu kami di sini dapat juga menyelami sejarah Melaka menerusi aktiviti melawat lima muzium di Banda Hilir.

“Lima hari di sini terasa sungguh sekejap, tapi saya yakin, apa yang dipelajari di sini, ilmu yang saya dapat adalah sangat berharga dan ‘mahal’, jadi perlu untuk kami manfaat selepas pulang ke negeri masing-masing,” katanya.

Sementara itu, rata-rata peserta mengharapkan kem tersebut diteruskan pada masa akan datang dan menjadi acara tahunan bagi melahirkan lebih ramai pelapis seni dan budaya pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2289
Kongsi :
Previous post Tanah runtuh: Kanak-kanak lelaki sasaran akhir pasukan mencari
Next post Cubaan samun kedai emas, wanita mengandung dicekup polis
Ubah saiz-+=