Cubaan samun kedai emas, wanita mengandung dicekup polis

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

MELAKA 24 Disember – Seorang wanita berusia 35 tahun yang dipercayai suspek cubaan samun kedai emas di sebuah pasar raya di Ayer Keroh 20 Disember lalu berjaya dicekup polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek yang sedang mengandung itu ditahan sepasukan polis dari bahagian Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Melaka di Kampung Kuala Linggi, kira-kira jam 5 petang pada 22 Disember.

Menurutnya, suspek merupakan ibu kepada dua anak yang bekerja sebagai Eksekutif Sumber Manusia (HR) di sebuah syarikat swasta.

Berdasarkan soal siasat, suspek mendakwa perbuatan itu dilakukan atas alasan mahu mencuba sesuatu yang ekstrem.

“Ketika penahanan, turut dirampas sebilah pisau berukuran 13 sentimeter (cm) yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan direman selama empat hari sehingga 27 Disember,” katanya.

Christopher berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan iaitu cubaan merompak menggunakan senjata.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Sebelum ini, rakaman video kamera litar tertutup memaparkan kejadian cubaan samun menggunakan pisau itu tular di media sosial.

Video berdurasi lapan saat itu menunjukkan seorang wanita berjubah cuba mengacukan pisau ke arah pekerja kedai emas berusia 16 tahun dan mengarahkannya memasukkan barang kemas ke dalam beg galas yang dibawanya.

Kejadian itu kemudiannya disedari rakan pekerja kedai itu sebelum bertindak menariknya ke belakang dan wanita itu berjaya melarikan diri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5190
Kongsi :
Previous post Kem 4K: Pelapis cilik bawa pulang pengalaman ‘mahal’, berharga
Next post Urban Reforestation @Sungai Putat bukan lagi sarang dadah, maksiat
Ubah saiz-+=