Urban Reforestation @Sungai Putat bukan lagi sarang dadah, maksiat

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 24 Disember – Pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan pusat riadah di Urban Reforestation @Sungai Putat selamat digunakan orang awam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, lokasi yang sebelum ini terbiar dan menjadi sarang penagihan dadah serta masalah sosial telah dibangunkan semula dengan misi pengindahan di kawasan terbabit.

Katanya, menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kawasan itu kini telah menjadi antara lokasi tumpuan bagi menjalankan aktiviti rekreasi dan riadah keluarga.

“Kita kenal pasti dahulu kawasan ini merupakan kawasan yang bermasalah dan kita telah ubahkannya kepada kawasan yang sesuai dijadikan pusat rekreasi dan riadah keluarga.

“Berbanding sebelum ini kawasan ini merupakan lokasi masalah sosial yang berlalu seperti sarang penagihan dadah, tempat orang mabuk dan perbuatan tidak senonoh sering berlaku di kawasan ini berikutan keadaannya yang berhutan.

“Hasil kerjasama dengan pelbagai pihak kita telah bangunkannya dengan pelbagai tarikan riadah dan pengindahan lain seperti lukisan mural dan program kutipan sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Jom Plogging @ Reforestation anjuran bersama MPHTJ-SWCorp Bersamamu 2022, di sini hari ini.

IMG_20221224_125532_231
AYER KEROH 24 Disember – Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman ditemui pada Program Jom Plogging @ Reforestation anjuran bersama MPHTJ-SWCorp Bersamamu 2022 di Urban Reforestation Sungai Putat, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Ab Mutalib.

Terdahulu, program diadakan sejak jam 7 pagi itu diisi dengan aktiviti pembersihan dan kutipan sampah bagi memastikan lokasi pusat riadah itu kekal bersih dan indah.

Dalam pada itu, Shadan berkata, misi membangunkan kawasan awam sebagai pusat rekreasi dan riadah akan diteruskan bagi mengelakkan daripada terbiar dan menjadi lokasi permasalahan sosial.

Katanya, langkah menaik taraf dan mengindahkan beberapa lokasi lain di sekitar kawasan pentadbirannya telah dilaksanakan bagi memastikan lokasi tumpuan awam kekal selamat untuk digunakan orang ramai.

“Ada tempat-tempat lain seperti di terowong yang menghubungkan antara Taman Buaya dan Dataran Sejarah telah dinaik taraf bagi memastikan kawasan ini selamat digunakan kerana sebelum ini kita dapati kawasan itu dipenuhi dengan sampah termasuk sampah kondom dijumpai di kawasan itu yang sebelum ini dijadikan lokasi perbuatan tidak senonoh.

“Langkah itu diteruskan pula dengan pengindahan di Dataran Sejarah yang mana hari ini kita penuhi dengan hiasan lampu pada setiap hari menjadikan kawasan yang gelap sebagai lokasi gejala sosial diterangi dengan pencahayaan sekali gus menjadikan kawasan itu selamat untuk dikunjungi keluarga pada waktu malam.

“Alhamdulillah hasil daripada usaha ini kita menerima maklum balas daripada pekerja-pekerja yang ditugaskan di kawasan itu dengan masalah sampah dapat dikurangkan dan isu sosial juga diatasi di kawasan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2600
Kongsi :
Previous post Cubaan samun kedai emas, wanita mengandung dicekup polis
Next post SWCorp Melaka serius banteras lokasi sampah haram
Ubah saiz-+=