Tangguk gamat di perairan Kelantan, lima nelayan Vietnam ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

Pasir Puteh 31 Ogos  – Maritim Malaysia Negeri Kelantan menahan sebuah bot nelayan asing yang sedang menangguk gamat di perairan Kelantan semasa melaksanakan Op Khas Naga Barat dan Op Damai, 29 Ogos lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli bin Syed Ab Rahman berkata, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan bot nelayan berwarna kelabu dan hijau pada jam 6.00 petang dalam keadaan mencurigakan.

Menyedari diekori bot ronda Maritim Malaysia, bot tersebut cuba melarikan diri. Selepas hampir 45 minit mengejar, bot suspek akhirnya berhenti dan pasukan geledah menaiki dan menahan bot tersebut pada 6.45 petang.

Bot nelayan ditahan pada jarak lebih kurang 40 batu nautika daripada Muara Tok Bali dan 11.6 batu nautika daripada sempadan Thailand.

Pemeriksaan mendapati, bot merupakan bot nelayan asing Vietnam dengan lima kru termasuk tekong merupakan warga Vietnam yang berumur antara 34 hingga 61 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan turut mendapati lebih kurang 200 kilogram gamat berada di atas bot yang dipercayai ditangkap di perairan Malaysia.

Tekong juga gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia. Bot dan kesemua mereka ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan dan tiba pada jam 2.45 pagi.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (a) iaitu hukuman denda sehingga RM 6 juta kepada tekong dan RM 600 ribu ke atas setiap kru.

Bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan. Semua kru telah disahkan negatif Covid-19 oleh melalui ujian saringan.

Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, gamat lebih kurang 200 kilogram, bahan bakar diesel lebih kurang 2000 liter dan peralatan menangguk gamat dianggarkan berjumlah RM429 ribu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4410
Kongsi :
Previous post Tambang percuma kepada OKU selama sebulan sehingga 30 Sept – Wee
Next post Elaun Pegawai Syarak Melaka dinaikkan antara RM50-RM200
Ubah saiz-+=