Tangisan bayi masih bertali pusat dalam bakul pakaian

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BATU BERENDAM 4 Feb- Seorang bayi perempuan masih bertali pusat dan beruri ditemukan dalam bakul pakaian di tepi tembok batu di hadapan sebuah restoran di Taman Mutiara, Batu Berendam, di sini, pagi tadi.

Bayi dipercayai baru dilahirkan itu ditemui seorang wanita berusia 51 tahun ketika sedang mengutip tin sekitar restoran terbabit kira-kira jam 7 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Suprintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata pihaknya menerima aduan berhubung kejadian 15 minit selepas bayi malang itu ditemui.

Katanya, wanita berkenaan berasa curiga selepas mendengar tangisan bayi dari arah restoran berkenaan lalu melakukan pemeriksaan.

“Wanita tersebut kemudian menjumpai bayi perempuan yang masih hidup di dalam ‘folding laundry basket’ warna krim. Badan bayi berkenaan dialas menggunakan kain batik dan badannya masih ada kesan darah.

“Sejurus kemudian dia terus ke sebuah klinik yang berdekatan untuk mendapatkan bantuan bagi menghubungi pihak polis dan ambulans,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Raiz Muhkliz berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Melaka menggunakan ambulans untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11).

“kes disiasat mengikut Seksyen 317 kanun keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Kongsi :
Previous post Jangan pertikai kesetiaan PAS dalam PN – Muhyiddin
Next post Kemalangan maut: Penternak ikan didakwa bunuh empat beranak
Ubah saiz-+=