Tarikan baharu di Pusat Ekopelancongan Paya Lebar Fasa Kedua

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER LIMAU 24 Mei – Fasiliti dan tarikan baharu kini dalam perancangan mampu menjadikan Pusat Ekopelancongan Paya Lebar, Masjid Tanah sebagai antara destinasi percutian dan santai pilihan di negara ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, Projek Pembangunan Pusat Ekopelancongan Paya Lebar Fasa Kedua yang diusul bakal memberikan lebih keselesaan kepada pengunjung dan pelancong.

Katanya, setakat ini pembangunan projek fasa kedua dianggar membabitkan kos RM8.6 juta sudah diusulkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selain turut dibentangkan kepada Kementerian Ekonomi pada 15 Mei lalu.

“Fasa pertama yang dibangunkan sebelum ini bertujuan menyediakan infrastruktur asas, fasa kedua pula kesinambungan atau pengisian bagi mempelbagaikan lagi tarikan kepada pelancong.

“Usaha memantapkan lagi pusat pelancongan ini diteruskan dengan mengangkat permohonan projek bagi fasa kedua kepada MOTAC melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi peruntukan Rolling Plan kelima (2026) dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas(RMK12),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, antara tarikan yang diusulkan bagi fasa kedua adalah menambah baik Jeti Utama (Tapak Karavan, Surau, Kaunter Tiket, Tandas dan Kios Kraftangan); Taman Lokan (Surau, Tandas dan Tapak Caravan); Sabak Arang (Bangunan Pameran dan laluan pejalan kaki ‘interlocking’); Kota Simpang (Dataran, Bangunan Pameran, Tugu dan Arca) serta pembinaan ponton di Jeti Ikan Sangkar di Muara Sungai Linggi.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk bersama-sama Kerajaan Negeri bagi membangunkan kawasan itu sebagai antara tarikan utama pelancongan daerah Alor Gajah.

TPr. Saifuddin berkata, MPAG akan berusaha untuk membangun dan meneruskan projek di Pusat Ekopelancongan Paya Lebar yang akan memberi limpahan serta pulangan kepada penduduk sekitar.

“Malah, limpahan ekonomi daripada projek fasa pertama dengan kos sebanyak RM2.31 juta sebelum ini telah mengubah perspektif pelancongan Negeri Melaka dengan menawarkan produk yang berasaskan ekopelancongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post Polis tahan tujuh remaja pukul, paksa pelajar masuk kumpulan haram
Next post JKKN Melaka sedia 21 program utama semarak TMM2024
Ubah saiz-+=