
TASKA BERDAFTAR DI MELAKA LEBIH SELAMAT, JAMIN PENDIDIKAN AWAL BERKUALITI
BANDA HILIR 17 September – Ibu bapa di negeri ini disaran untuk menghantar anak-anak mereka ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar yang ada di seluruh negeri bagi menjamin hak anak-anak mendapat pendidikan awal berkualiti.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, setakat Ogos 2025, sejumlah 150 taska berdaftar telah direkodkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka.
Jelas beliau, kesemua taska berdaftar itu bukan sahaja, patuh kepada piawaian keselamatan dan kebajikan, malah turut menyediakan pengawasan pengasuh terlatih.
“Justreru, saya amat menekankan kepentingan menghantar anak-anak ke taska berdaftar memandangkan ibu bapa dapat menghantar anak-anak dengan penuh keyakinan.
“Pada masa sama, anak-anak pula dapat menikmati proses pembelajaran dan perkembangan dalam persekitaran yang selamat dan terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Taska Peringkat Negeri Melaka yang bertemakan ‘Hak Bermain, Anak-Anak Ceria’ di Mahkota Parade, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen; Pengarah JKM Negeri Melaka Halyjah Muhamad; Presiden Persatuan Taska dan PJKK Negeri Melaka Kenneth William John serta lain-lain kenamaan.
Menurut Kalsom, selain tumpuan kepada taska berdaftar, JKM Negeri Melaka kini juga giat mengadakan advokasi dan libat urus bersama pengusaha taska yang belum berdaftar agar dapat mengambil langkah proaktif untuk segera mendaftarkan taska masing-masing.
Pada masa sama, ujar beliau, beberapa agensi kerajaan turut hadir dalam menyediakan konsultasi perkhidmatan kepada pengusaha-pengusaha taska seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan Negeri Melaka serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.