Teknik nuklear pulihara artifak

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDA HILIR 24 Oktober – Pemuliharaan sesuatu artifak bukan sahaja penting dalam memahami warisan sejarah dan budaya malah untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri Datuk Zaidi Attan berkata, justeru itu sesuatu perkongsian pengalaman dan pengetahuan penting bagi memastikan artifak sejarah yang ditemui dapat dikenal pasti.

Beliau berkata, oleh itu penganjuran kursus dengan memfokuskan penggunaan teknik nuklear dalam pemulihraan artifak yang diperoleh daripada kapal yang karam adalah platform terbaik dalam berkongsi pengetahuan.

“Ini adalah satu lagi pencapaian besar apabila (menerusi kursus) dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang berkaitan dengan penggunaan teknik nuklear dalam penerokaan, pencirian serta pemulihraan artifak yang pulih dari kapal karam.

“Kajian dan pemuliharaan artifak daripada kapal yang karam adalah aspek penting dalam memahami warisan sejarah budaya kita.

“Malah menerusi penggunaan teknik nuklear kita dapat menyelidik dengan lebih mendalam tentang penemuan sejarah sekaligus dapat memastikan pemuliharaan yang betul untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena ‘Regional Training Course On The Application Of Nuclear Techniques For Characterization And Preservation Of The Artifacts Obtained From The Shipwreck’, di Bangunan Stadthuys.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Yusof; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A Kasim dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Drs Mohd Nasruddin Rahman.

Zaidi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim berkata, penganjuran kursus itu juga secara tidak langsung memberi impak yang besar kepada Kerajaan Negeri Melaka khususnya dari sektor pelancongan.

“Saya juga berbangga dengan penganjuran kursus ini kerana ia memberi impak besar kepada transformasi bagi negeri Melaka selain dapat menarik lebih ramai pelancong untuk datang melawat ke negeri ini.

“Dengan semangat kerjasama dan perkongsian ilmu antara mereka antaranya peserta, pakar dan penyelidik yang terbabit adalah kunci kepada realisasinya program ini dan juga kepada Kerajaan Negeri Melaka.

“Tanpa usaha kolektif daripada semua pihak kursus ini mungkin tidak akan berjaya. Untuk itu saya berharap kursus ini akan memberi manfaat kepada kita semua dalam usaha memulihara dan memahami warisan sejarah melalui penggunaan teknik nuklear,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

808
Kongsi :
Previous post Op Pasar Borong, MPHTJ keluar enam kompaun
Next post 50 ‘abang beca’ dilantik duta kecil MAIM
Ubah saiz-+=