
TEKNOUSAHAWAN TVET TAMBAH PELUANG PEKERJAAN BAHARU DI MELAKA
SERI NEGERI 18 September – Kerajaan Negeri sedang merangka program baharu bagi melahirkan golongan teknousahawan dalam kalangan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menambah lagi peluang pekerjaan di negeri ini.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, inisiatif itu bukan sahaja memastikan graduan TVET mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi, malah mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan kepada graduan lain.
“Kita mahu graduan TVET bukan sahaja bekerja tetapi juga berniaga dan mengambil graduan lain sebagai pekerja.
“Kalau seorang teknousahawan boleh menggaji 10 orang graduan lain, ia sudah memberi kesan berganda kepada pembangunan ekonomi dan tenaga kerja di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sesi Libat Urus Awam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Peringkat Negeri Melaka di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Negeri Melaka, Sa’ari Basiron dan Pengarah Eksekutif Institut Polisi Awam dan Pengurusan Antarabangsa (INPUMA), Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.
Menurut Khaidhirah, beberapa sektor dikenal pasti berpotensi melahirkan teknousahawan, termasuk perkhidmatan dan perhotelan; katering; kulinari; kesihatan dan kecantikan seperti spa; rawatan selepas bersalin; bekam dan urutan, selain industri automotif dan elektrik & elektronik (E&E).
Katanya, Kerajaan Negeri telah mengemukakan kertas cadangan kepada Kerajaan Persekutuan dan telah diluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk program itu.
“Sekarang ini kita dalam proses memperhalusi pakej dan kaedah pelaksanaan. Insya-Allah, paling lambat tahun depan kita akan umumkan dan mula laksanakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.