Sorting by

×

TENANG ‘BERBISIK’ DENGAN POKOK

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

REMBIA – Dikelilingi tumbuhan menghijau selain dapat ‘berbisik’ dengan pokok memberikan ketenangan dan semangat kepada Muhammad Redzuan Roslan, 46, untuk terus mengusahakan kebun tanaman cili serta terung miliknya di Kampung Air Lanjut, di sini.

Graduan kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini berkata, atas dasar mahu mencabar diri dia bersama rakan kongsinya Zulhelmi Saad, 46, mengambil keputusan untuk pulang ke Alor Gajah bagi mengusahakan kebun cili pada 2019.

Namun, penularan pandemik COVID-19 pada 2020 hampir mematahkan semangat mereka, namun bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan membantu mereka untuk bangkit semula.

“Kebun ini mempunyai masing-masing 1,500 polibeg cili dan terung yang menggunakan sistem para, bagi memudahkan pengurusan kebun seperti aktiviti membaja dan meracun kami terapkan elemen teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT).

“Rasa berbaloi dan puas apabila melihat pokok berbuah lebat. Selain sudah jemu makan gaji, saya terjun dalam bidang pertanian kerana mahu menyahut saranan kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap keterjaminan makanan khususnya di Negeri Melaka yang kini mengalami pertambahan penduduk susulan kepesatan pembangunan,” katanya.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat saban tahun dia dan rakannya turut mengusahakan tanaman jenis sama beberapa lagi lokasi lain sekitar Alor Gajah.

“Hasil tuaian tidak pernah cukup untuk tampung permintaan jadi kami buka tapak baharu. Meskipun perlu belajar banyak perkara baharu saya berasa gembira, latar belakang bidang kejuruteraan juga banyak membantu saya menguruskan kebun.

“Sistem pengurusan kebun yang teratur melayakkan saya menerima sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), alhamdulillah ini adalah antara pengiktirafan yang boleh membantu dalam memperluaskan lagi pasaran cili dan terung saya,” katanya.

Malah lebih membanggakan apabila kebun diusahakan juga terpilih sebagai pusat pembelajaran hasil jalinan kerjasama dengan sebuah syarikat pengeluar racun terkemuka.

“Racun keluaran syarikat ini akan diuji di kebun kami, tetapi jangan risau produk diuji berkualiti bukan sembarangan hingga boleh memberikan kemudaratan kepada pengguna. Itulah pentingnya MyGAP yang bertujuan memastikan setiap produk pertanian ada di pasaran selamat untuk dimakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

462
Kongsi :
Previous post BENGKEL TERBAKAR: 37 KERETA, TUJUH MOTOSIKAL MUSNAH
Next post TERNAKAN IKAN KELI ERATKAN PERPADUAN PENDUDUK DUA TAMAN PERUMAHAN