“Terima kasih kerajaan kerana dengar penderitaan kami”

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

REMBIA, 7 Jan – “Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar penderitaan kami.

“Kami tidak berdaya untuk membina rumah baharu dan kalau diharapkan dengan pendapatan yang tidak seberapa, pasti kami tidak akan menikmati kediaman baharu,” kata Mohd Zaini Mahat, 34.

MOHD Zaidi

Tiada yang lebih menggembirakan beliau dan empat anggota keluarganya yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran, selain menyaksikan rumah baharu bakal disiapkan tidak lama lagi.

Mohd Zaidi dan ibunya, Maimunah Abu, 66, serta tiga lagi anggota keluarga mereka tidak berhenti daripada mengucapkan kesyukuran kepada Allah dan terima kasih kepada kerajaan.

Selepas dua bulan kehilangan rumah akibat kebakaran pada jam 9.15 malam, 8 November lalu, mereka amat berharap rumah yang sedang dibina melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu mampu disiapkan tidak lama lagi.

Ini kerana sejak kejadian malang itu, mereka terpaksa menumpang di kediaman Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) milik adik perempuan Mohd Zaidi kira-kira 50 meter dari kediaman yang sudah musnah di Kampung Solok Mentangor, Sungai Petai di sini.

Mohd Zaidi berkata, beliau sekeluarga ceria apabila beberapa pekerja syarikat kontraktor memulakan tugas berkenaan sejak awal bulan lalu dan dijangka menyempurnakannya tidak lama lagi.

RUMAH baharu Mohd Zaidi kini sedang dibina melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Sejak kejadian itu kami terpaksa menumpang di rumah adik dan walaupun terpaksa tinggal dalam rumah yang sempit, sekurang-kurangnya kami masih ada tempat berteduh.

“Alhamdulillah, kami ucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan yang sudi membantu meringankan beban kami sekeluarga kerana kalau hendak diharapkan kami sendiri yang membina rumah baru, memang tidak akan ada,” katanya ketika ditemui di tapak pembinaan kediaman baharu kira-kira 70 meter dari tapak kediaman yang sudah hangus hari ini.

Dalam kejadian itu mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menelan kepahitan menyaksikan pelbagai peralatan yang disifatkan sebagai antik dan menyimpan memori silam keluarga, hangus sekelip mata.

Perabot lama seperti almari diperbuat daripada kayu jati dan katil besi serta peralatan klasik seperti kipas angin, seterika arang dan beberapa pisau serta parang lama yang bernilai tinggi dalam kalangan penggemar barangan antik, musnah dijilat api.

Sementara itu Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Ali Hassan Ahmad Shamsuddin berkata, Pejabat Penghulu memperoleh peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi membina kediaman baharu untuk keluarga terbabit.

Beliau berkata, kediaman itu menyediakan ruang lebih selesa berdasarkan tiga bilik dan sebuah bilik air yang lebih luas.

Ia dibina dengan kos RM48,000 dan dijangka mampu disiapkan tidak lama lagi bergantung kepada keadaan cuaca, katanya.

Views:

341
Kongsi :
Previous post Banjir makin buruk di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak
Next post Penafian berita palsu tular 9.30 pagi, 7 Januari – KKMM
Ubah saiz-+=