‘Terkuburnya’ Anjung Selera Telok Gong

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LINGGI 2 Nov – Selepas setahun mengalami hakisan pantai yang serius, anjung selera di pantai Kampung Telok Gong, di sini akhirnya bakal terkubur dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Ianya setelah Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mendapati bangunan yang dibina kira-kira 25 tahun lalu itu memerlukan kos yang amat tinggi jika ia diselamatkan.

Yang Dipertua MPAG Mohd Fadhil Hassan berkata, kerja-kerja pembaikan jika perlu dilakukan bukan sahaja membabitkan tembok penahan ombak yang sudah roboh ditelan hakisan, malah juga bangunan tandas dan wakaf berhampiran gerai itu juga sudah rosak teruk.

“MPAG dengan rasa berat hati terpaksa mengambil keputusan ini selepas kajian jurutera mendapati kerja pembaikan membabitkan kos terlalu tinggi.

“Hakisan pantai yang berlaku sejak September 2019 sudah terlalu teruk dan akan kembali berulang sekali pun kerja pembaikan tembok di bahagian bawah bangunan yang menghadap laut itu dibuat,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun jelasnya sebagai langkah penyelesaian, MPAG menyenaraikan gerai yang masih kosong di lokasi lain untuk peniaga di anjung selera berkenaan beroperasi.

Mohd Fadhil berkata, selain itu MPAG juga berusaha mendapatkan lokasi berhampiran tapak gerai sedia ada untuk dijadikan tapak perniagaan baharu peniaga terbabit.

Norazman menunjukkan lubang besar yang terbentuk akibat hakisan di gerai anjung selera di pantai Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru dekat Alor Gajah.
Foto Din Ahmad

Sementara itu, peniaga, Norazman Khairuddin, 41, berkata beliau terpaksa memindahkan dapur dan peralatan perniagaan selepas menerima notis mengosongkan bangunan daripada MPAG.

“Sudah 16 tahun saya berniaga di gerai ini dan menghadapi pelbagai cabaran perniagaan jatuh dan bangun tetapi kali ini hakisan pantai tidak dapat dibendung lagi daripada merosakkan bangunan ini.

“Kerosakan yang berlaku bukannya sedikit sehingga menyebabkan anjung bangunan runtuh dan membentuk lubang besar sepanjang kira-kira tiga meter dengan kelebaran dan kedalaman dua dan empat meter,” katanya.

“Kami akur dengan keputusan itu sebab itu sejak operasi perniagaan terpaksa dihentikan tahun lalu saya terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan,” katanya sambil berharap MPAG dapat membantunya mendapatkan gerai di lokasi lain.

Views:

889
Kongsi :
Previous post Banjir kilat: enam keluarga dipindahkan ke PPS SK Merlimau
Next post COVID-19, penangguhan pilihan raya tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Ubah saiz-+=