Sorting by

×

TERNAKAN IKAN KELI ERATKAN PERPADUAN PENDUDUK DUA TAMAN PERUMAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

REMBIA 26 Ogos – Pelbagai cara boleh digunakan untuk mencerminkan perpaduan antara kaum kerana terjemahannya tidak terhad kepada penganjuran majlis tertentu semata-mata.

Bagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sutera dan Taman Mutiara, Kelemak, di sini, mereka menjadikan elemen ekonomi menerusi penternakan ikan keli yang diusahakan secara bersama oleh 10 peserta melibatkan pelbagai kaum untuk menterjemahkan perpaduan dalam kalangan mereka.

Pengerusi KRT penempatan itu, Mas Fairuz Kamarudin berkata, medium itu juga digunakan untuk membantu tiga peserta dalam kalangan ibu tunggal untuk menjana pendapatan tambahan bagi menampung keperluan keluarga masing-masing.

Menurutnya, tempoh matang ikan keli adalah antara dua ke tiga bulan, setakat ini mereka sudah dua kali menuai hasil ternakan selepas projek berkenaan dimulakan pada awal tahun.

Whatsapp image 2025 08 25 at 11.09.46 am
TURUT mengusahakan tanaman sayuran seperti kangkung dan sawi. Foto Afiq Mustaffa

“Kita mempunyai tangki dengan saiz yang berbeza untuk menampatkan benih ikan dan ikan yang sudah matang untuk dijual. Hasil keuntungan jualan dibahagikan dalam kalangan peserta dan KRT sendiri.

“Peserta boleh guna hasil keuntungan untuk membiayai keperluan mereka, manfaat bagi KRT pula ada dana tambahan selain bantuan tahunan berjumlah RM6,000 bagi melaksanakan program atau aktiviti berfaedah, sekali gus memperkasakan lagi perpaduan sesuai dengan objektif penubuhannya.

“Malah dalam keadaan mendesak atau kecemasan dana terkumpul hasil aktiviti ekonomi ini boleh digunakan untuk membantu mereka memerlukan, inisiatif seperti ini juga penting dalam meningkatkan lagi kecaknaan KRT dalam aspek kebajikan,” katanya kepada Melaka Hari ini.

Mas Fairuz berkata, pihaknya juga menggerakkan aktiviti tanaman sayuran berdaun menggunakan sistem para yang juga melibatkan 10 peserta dalam kalangan penduduk kedua-dua taman berkenaan.

Jelasnya, setakat ini program hasil bantuan Jabatan Pertanian Negeri Melaka itu menumpukan kepada tanaman sayuran berdaun jenis kangkung dan sawi.

“Insya-Allah jika dipermudahkan urusan kami mahu melibatkan lebih ramai penduduk dalam aktiviti dilaksanakan, mengikut perancangan pada masa akan datang kami mahu mengusahakan kebuh buah tin secara bersama di tapak berhampiran penempatan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1140
Kongsi :
Previous post TENANG ‘BERBISIK’ DENGAN POKOK
Next post ADUN SUNGAI RAMBAI, YANG DIPERTUA MPAG ANTARA 439 PENERIMA DARJAH KEBESARAN SESI KEDUA