Terpelajar atau terdidik?

Masa Membaca:3 Minit, 24 Saat

 

 

Oleh Prof. Datuk Dr. Sidek Baba

SIFAT manusia itu lupa (nasiyya) dan lalai (ghaflah). Lalu manusia diberikan pedoman dan peringatan. Mempelajari sesuatu yang bermanfaat adalah suatu bentuk peringatan dari lupa dan lalai.

Al-Quran menyebutkan pendekatan khabar gembira (basyira) dan peringatan (nazira) supaya manusia mengetahui. Mengetahui sesuatu seseorang perlu belajar dan diberi didikan.

Terpelajar dan terdidik tidak sama. Terpelajar memberi makna seseorang mengikut pelajaran yang disampikan kepadanya.

Terdidik bermakna bagaimana ilmu yang diajarkan membentuk cara berfikir, watak dan peribadi seseorang kerana sifat ilmu yang benar mampu membentuk peribadi.

Terpelajar belum tentu terdidik. Ramai yang berkelulusan tinggi tapi tidak terdidik. Berkelulusan tinggi jadi angkuh dan sombong.

Tidak bersedia mendengar pandangan orang lain. Merasakan dirinya sudah cukup betul. Orang terdidik tidak begitu. Bersikap terbuka kepada pandangan orang lain. Tidak angkuh dan berbangga diri kerana apa yang diketahuinya masih sedikit.

Apa yang dipelajari oleh manusia sebenarnya. Ramai manusia mengkaji apa yang tersurat tidak yang tersirat. Lalu pengetahuannya jadi terbatas. Bila dihadapkan soalan tentang kejadian bumi lantas menjawab ianya terjadi by nature atau terjadi dengan sendiri.

Bila ditanyakan soalan bolehkah kerusi terjadi dengan sendiri tanpa tukang atau pembuat. Ia mula berdalih.

Orang yang terdidik dengan iman dan taqwa mudah menjawab bahawa sesuatu yang berlaku ada Penciptanya lantaran manusia tidak mampu mencipta alam. Alam tidak terjadi dengan sendiri. Ia dicipta dan diuruskan oleh yang Maha Mencipta.

Manusia membina sistem lebuh raya untuk dilalui oleh manusia dengan pelbagai jenis kenderaan. Di lebuh raya diberikan peringatan had laju dan pertanda-pertanda yang lain. Tetapi kemalangan tetap berlaku dan kesesakan tetap terjadi.

Cuba kita dongakkan perhatian kita waktu malam di angkasa. Terdapat billion bintang dan galaksi di langit. Siapa yang menggerakkannya beredar dengan laju.

Berlaku tidak perlanggaran dan kesesakan. Tentu ada Pengurus yang Maha Mengurus menyebabkan ianya terjadi. Bagi yang terdidik dengan iman dan taqwa itulah sunnatullah atau ketentuan Pencipta.

Sebab itu dalam tradisi Islam tidak saja ilmu akliah dipelajari tapi ilmu nakliah menjadi pedoman utama. Ilmu akliah memberitahu manusia tentang hal-hal yang tersurat dan menjadikan kita terpelajar.

Ilmu nakliah atau wahyu memberikan kita pedoman dan pertunjuk tentang hikmah yang tersurat dan ghaib menjadikan kita terdidik.

Di Barat faham sekular berkembang dalam ilmu dan pendidikan. Worldview atau pandangan semesta manusia hanya melihat yang nyata dan tersurat. Agama disisihkan dari kehidupan. Fahaman dan fikirannya adalah duniawi semata.

Tamadun Islam di Andalusia berlegar selama 800 tahun dan fokus kepada kajian saintifik berlaku. Ilmuan Barat mendatangi Andalusia dan mempelajari ilmu-ilmu yang terdapat.

Ilmu itu diterjemahkan ke bahasa Latin, Hebrew dan Ibrani bahasa orang Barat dan meninggalkan bahasa Arab sebagai sumber tamadun.

Lalu berlakulah Renaissance, Reformation di Barat menyebabkan faham sekular dan liberal berkembang. Ramailah ilmuan di luar Barat mendatangi Barat mempelajari ilmu mereka dan sebahagiannya menjadi sekular dan liberal.

Bila kembali ke negara masing sebagai orang terpelajar mengukuhkan dasar ilmu dan pendidikan negara. Ia menyebabkan aliran sekular dan liberal berkembang.

Dalam Persidangan Pendidikan Islam yang berlaku di Mekah pada tahun 1977 yang dihadiri oleh 313 ilmuan Islam mendapati antara sebab kemunduran umat Islam di dunia kerana amalan dualisme dalam ilmu dan pendidikan dan mencadangkan supaya integrasi ilmu akli-nakli dan Islamisasi pendidikan berlaku.

Pada tahun 1983 Malaysia respon kepada cadangan itu dengan menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan mengambil pendekatan IIICE (Integration, Islamization, Comprehensive Excellence) atau integrasi ilmu dan Islamisasi pendidikan melalui penyantunan ilmu Islam dan ilmu bermanfaat dari Barat menjawab persoalan kemunduran yang berbangkit.

Lalu Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan memberi ruang kepada pembelajaran Major dan Minor. Pelajar yang mengikuti Ilmu Kemanusiaan (major) boleh mengambil Ilmu Wahyu (minor) sebaliknya yang mengambil Ilmu Wahyu (major) boleh mengambil Ilmu Kemanusiaan (minor).

Tahun akhir pelajar boleh mengambil double major. Ianya diharapkan integrasi ilmu berlaku dan Islamisasi Pendidikan terjadi. Di UIAM terdapat pelajar di kalangan banyak negara di dunia belajar dan mengambil pendekatan integrasi dan Islamisasi.

Jika percubaan ini terjadi, ia bakal menghasilkan pelajar pelajar yang memiliki kualiti kesepaduan ilmu dan pendidikan dan boleh membangun tradisi baru yang mementingkan etika dan ilmu dalam pendidikan dan ia boleh menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan kepada umat manusia kerana mereka bakal masuk ke arus perdana pendidikan Islam dan bukan Islam.

Views:

1760
Kongsi :
Previous post Tiada ziarah, sambutan Tahun Baru Cina hanya bersama ahli keluarga
Next post Warga APM Melaka diminta kekalkan disiplin tinggi
Ubah saiz-+=