Tiada kaum di Melaka terpinggir – KM

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 5 Februari – Kerajaan Negeri tidak pernah sesekali meminggirkan mana-mana kaum di Negeri Melaka setiap kali musim perayaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ini kerana di bawah pentadbirannya, kebajikan setiap kaum dan lapisan masyarakat akan sentiasa dibantu menerusi saluran bantuan dan sumbangan yang bersesuaian.

Jelas beliau, ia termasuklah pada perayaan Tahun Baru Cina yang akan tiba beberapa hari sahaja lagi yang mana Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM200,000 sumbangan kepada 1,000 masyarakat Tionghoa di Negeri ini.

Menurut Ab Rauf, sumbangan itu diberikan kepada penerima yang layak daripada 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang merangkumi 475 penerima daripada daerah Melaka Tengah, 315 daerah Alor Gajah dan Jasin (210 penerima).

“Kepada penerima yang diraikan, saya berharap dengan adanya bantuan dan insentif ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan tuan-tuan dan puan-puan untuk sama-sama memeriahkan sambutan tahun baharu bersama ahli keluarga dan sahabat handai serta berbelanjalah dengan penuh berhemah.

“Sambutan Tahun Baharu Cina merupakan perayaan yang cukup penting oleh masyarakat Cina di seluruh dunia. Inilah peluang untuk berkumpul bersama keluarga, menikmati makan besar dan bertemu dengan rakan-rakan, sanak saudara, memberi dan menerima ‘angpau’ adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan tidak kira muda ataupun tua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Impak Sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2024 di Dewan Bistari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kerk Chee Yee; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka Halyjah Mohamad.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut berharap perayaan Tahun Baru Cina tahun ini dijadikan asas untuk mengukuhkan iltizam dan perpaduan bukan sahaja dalam kalangan warga Cina, malah kepada seluruh bangsa yang terdapat di negara ini.

“Percayalah, keunikan dan keistimewaan pelbagai budaya yang terdapat di negara ini tidak mungkin ditemui di mana-mana negara lain.

“Justeru, kita hendaklah sentiasa menghormati dan menghargai kepelbagaian ini yang merupakan kunci kepada kemajuan dan kemakmuran sosioekonomi negara Malaysia.

“Semoga semangat Year of The Dragon ini akan membawa tuah, kejayaan dan pencapaian yang lebih baik buat Negeri Melaka khususnya dan negara amnya dalam menghadapi cabaran tahun 2024 ini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

715
Kongsi :
Previous post Masyarakat India Asahan seronok ‘kongsi’ budaya
Next post Tahun Baru Cina: Waktu operasi pembersihan di dua lokasi pelancongan dilanjutkan
Ubah saiz-+=