Sorting by

×

TIADA KELEWATAN DALAM PROJEK NAIK TARAF BENTENG PANTAI TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TANJUNG BIDARA 20 Julai – Kerajaan Negeri memberi jaminan Projek Menaik Taraf Benteng Pantai di Tanjung Bidara akan disiapkan menjelang September tahun hadapan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, projek yang dimulakan pada 15 Ogos tahun lalu ditangguhkan sementara berikutan berlaku perubahan ke atas reka bentuk projek disebabkan fenomena alam.

Menurutnya, kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan bermula esok (21 Julai 2025) dengan penambahan dua lapisan sistem pertahanan pantai (CDS) di kawasan terbabit.

“Projek ini tidak pernah dihentikan, sebaliknya ditangguh sementara waktu untuk memberi laluan kepada penilaian semula reka bentuk asal selepas fenomena yang berlaku hingga menjejaskan struktur binaan.

“Saya ingin menegaskan bahawa tiada isu kelewatan, malah kontraktor telah menyiapkan lebih awal daripada jadual iaitu pada kadar 40 peratus, berbanding 35 peratus pada kontrak dan ini bermakna kontraktor telah mendahului jadual asal.

“Reka bentuk baharu yang diluluskan ini telah melibatkan tiga zon merangkumi sepanjang 180 meter di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan tapak projek di Kampung Balik Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Ir. Mohd Adnan Mohd Fauzi.

Tambah Rais, projek yang dijalankan itu merupakan antara sebahagian inisiatif menyeluruh yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi menangani isu hakisan pantai dan fenomena air pasang besar.

Jelas beliau, selain Tanjung Bidara, ia turut melibatkan lokasi seperti di Pantai Puteri, Pengkalan Balak dan Alai Perdana.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post PROJEK NAIK TARAF BENTENG PANTAI DI TANJUNG BIDARA BERJALAN SEPERTI YANG DIRANCANG
Next post PETUGAS PEMBERSIHAN SWM ENVIRONMENT ANTARA JAYAKAN CUCI-CUCI DUYONG