Tiada kod etika pakaian buat pesakit di Melaka – Dr Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KUALA LUMPUR 16 Februari – Melaka menetapkan tiada kod etika berpakaian dikenakan buat mana-mana pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di Jabatan Kecemasan di setiap hospital kerajaan di negeri ini.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata perkara itu juga turut terpakai di mana-mana klinik di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Di Melaka kita tiada halangan dan mereka (pesakit) boleh datang pakai seluar pendek (contohnya) atau sebaliknya sebab apa kita percaya mereka yang datang ke hospital mahupun klinik bukan datang suka-suka tapi mesti dengan tujuan mereka kerana sedang sakit dan ingin mendapatkan rawatan.

“Itu yang pertamanya, kita kena utamakan dahulu selepas itu barulah kita nak menilainya bagaimana melainkan jika ada saudara atau waris yang bukannya pesakit tetapi datang ke sana untuk menghantar pesakit mereka perlu patuhi kod etika pemakaian ini.

“Ini juga terpakai kepada mana-mana pelawat mahupun individu yang mahu berurusan dengan mana-mana pejabat di jabatan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas diminta mengulas isu tular di media sosial mengaitkan isu pakaian seorang wanita yang hadir ke Unit Kecemasan Hospital Kampar, Perak, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menerusi satu kenyataan Pengarah Hospital Kampar, Dr Khairul Azha Azam berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan kepada kakitangan hospital itu untuk menghalang pesakit yang tidak mematuhi etika berpakaian, daripada menerima sebarang rawatan.

Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal ketika ditemui di Konvensyen Hala Tuju Pembangunan Negeri Melaka 2023 diadakan di sebuah hotel di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, di sini hari ini, menyarankan kepada rakyat di negeri ini yang berdepan dengan masalah integriti mahupun kegagalan mutu perkhidmatan kakitangan awam yang bekerja di premis hospital mahupun klinik perlu segera melaporkan kepadanya atau dalam sistem aduan Kerajaan Negeri.

Tegasnya, kakitangan awam perlu menjalankan amanah dalam perkhidmatan yang ditawarkan bagi memastikan mutu kualiti perhidmatan diperkasa sekali gus menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita tak nak perkara seperti ini berulang dan kita mahu pastikan penjawat awam perlu menjalankan tanggungjawab dengan baik malah orang awam juga perlu kena memahami situasi apa yang berlaku supaya pemahaman antara dua pihak mampu membantu perkhidmatan ini dapat dilaksanakan dnegan baik.

“Kepada semua rakyat di Negeri Melaka yang mempunyai isu atau aduan tentang mutu perkhidmatan boleh ajukan kepada saya atau dalam sistem talian aduan sedia ada dan Insyallah kita akan respon dan ambil tindakan sekiranya aduan itu benar,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2375
Kongsi :
Previous post Pindah buaya ‘viral’ ke Paya Indah Wetlands
Next post Gempa Turkiye Syria: PM Anwar cadang kurnia pingat, elaun khas kepada petugas SMART
Ubah saiz-+=