
TIADA LESEN, SUNTIKAN TIFOID PENIAGA PASAR MALAM DIKOMPAUN
ALOR GAJAH 26 Julai – Berniaga tanpa lesen, tiada suntikan tifoid dan lesen tamat tempoh antara kesalahan dikesan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dalam satu operasi penguatkuasaan di Pasar Malam Sungai Baru Hilir, Kuala Sungai Baru, baru-baru ini.
Hasil operasi dijalankan Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perlesenan MPAG itu menyaksikan 14 kompaun dikeluarkan daripada 63 peniaga yang diperiksa.
Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, sebanyak 11 kompaun dikenakan ke atas peniaga tidak memiliki lesen, satu kompaun kesalahan tiada suntikan tifoid, manakala dua lagi melibatkan lesen perniagaan tamat tempoh.
“Tindakan bersepadu ini adalah sebahagian usaha berterusan MPAG untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan, terutama dari segi kebersihan dan kesihatan awam,” katanya.
Menurut beliau, setiap kompaun dikenakan bernilai RM250 dan peniaga perlu dijelaskan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh dikeluarkan.
“Sebagai langkah mendidik dan memudahkan urusan pemohon, MPAG turut mengedarkan kod QR sistem Licence Information & Management System (LIMAS) bagi permohonan lesen secara dalam talian.
“Penganjur pasar malam juga diingatkan agar lebih proaktif memastikan peniaga baharu memohon lesen lebih awal dan menjaga kebersihan di tapak niaga masing-masing.
“Semasa operasi ada peniaga memberi alasan tidak tahu lesen diperlukan, anggap hanya berniaga sementara dan berkata permohonan lesen membebankan dari segi kos dan masa, namun begitu undang-undang tetap perlu dipatuhi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.